Pesta Pameran Rumah BIBD labuh tirai

Pesta Pameran Rumah BIBD labuh tirai

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Pesta Pameran Rumah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) ke-9 bertemakan ‘Hari Keluarga’ di cawangan Bank BIBD Kiulap, hari ini melabuhkan tirainya dengan penyampaian hadiah bagi peraduan melukis melalui laman Instagram BIBD.

Peraduan melukis melalui hashtag #BIBDlittlesavers bagi kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun itu dimenangi oleh Awang Noor Muhd Asa bin Salim yang mendapat hadiah deposit akaun bernilai $200, manakala di tempat kedua dimenangi Dayang Saflinatul yang menerima hadiah berupa deposit akaun bernilai $150 dan Tom pula memenangi hadiah ketiga berupa deposit akaun bernilai $100.

Hadir menyampaikan hadiah ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini bin Haji Sulaiman.

Peraduan merupakan peluang kepada kanak-kanak untuk menggambarkan rumah impian melalui lukisan mereka, di samping memberi kesedaran kepada mereka untuk merancang kewangan daripada awal lagi untuk memiliki rumah idaman mereka sendiri pada usia muda.

Hajah Noraini bergambar bersama kanak-kanak yang memenangi hadiah Peraduan Melukis #BIBDlittlesavers.
Hajah Noraini bergambar bersama kanak-kanak yang memenangi hadiah Peraduan Melukis #BIBDlittlesavers.

Pesta Pameran Rumah BIBD itu turut disertai 40 vendor termasuk syarikat hartanah dan perumahan serta industri pembangunan hartanah. Ia turut mempromosikan pelbagai produk dan perkhidmatan BIBD yang mana pelanggan berpeluang bertemu dengan kakitangan BIBD untuk membincangkan dan menyelesaikan risiko kewangan, mencadangkan pelan kewangan serta membantu mereka mencari rumah atau hartanah yang mereka inginkan mengikut kemampuan mereka.

Hajah Noraini semasa ditemu bual berharap Pesta Pameran Rumah yang diadakan ini memberi impak yang positif kepada pelanggan dan orang ramai dengan memberi khidmat nasihat dan pemahaman terhadap kepentingan memiliki rumah sendiri terutama kepada generasi muda yang baru sahaja memiliki pekerjaan yang mana mereka memerlukan rancangan kewangan dalam membeli atau membina rumah sendiri.

Pelanggan yang tidak berpeluang mengunjungi pameran itu bagaimanapun masih lagi boleh mendapatkan tawaran istimewa dalam Home Improvement Financing, pembiayaan peribadi, Consolidation Financing dan banyak lagi yang berkaitan sehingga 24 Oktober ini di cawangan BIBD Kiulap, Manggis, The Mall, Rimba, Tanjung Bunut dan Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA