Pesta Pelancongan Belait 5-6 Mac

Pesta Pelancongan Belait 5-6 Mac

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 29 Feb – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) akan mengadakan Pesta Pelancongan Belait RB yang akan berlangsung di Pusat Insani, Seria pada 5 dan 6 Mac ini dengan mengetengahkan beberapa tawaran istimewa.

Antara tawaran yang akan dipromosikan ialah tiket penerbangan ke London, Dubai, Melbourne, Singapura, Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Surabaya, Manila, Hong Kong, Shanghai, Ho Chi Minh City, Balai dan destinasi perkongsian kod terkini, Istanbul, dengan tempoh perjalanan bermula daripada 1 April hingga 24 November.

Pesta yang akan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 8 malam itu juga akan dimeriahkan dengan beberapa aktiviti seperti cabutan bertuah RB bagi pengunjung yang membuat tempahan tiket penerbangan menggunakan RB semasa pesta itu dengan menawarkan dua tiket kelas ekonomi ke Dubai, dua tiket kelas ekonomi ke Melbourne.

Di samping itu, cabutan harian juga akan diadakan bagi pengunjung yang membeli tiket RB dengan pembayaran penuh, yang mana cabutan akan dilakukan pukul 12 tengah hari dan 8 malam di kedua-dua hari pesta.

Pemenang bertuah akan mendapat tiket penerbangan kelas ekonomi sama ada ke Shanghai, Bangkok, Jakarta atau Bali, selain 10,000 Royal Skies Miles dan barangan dagangan RB.

Sidang media yang diadakan baru-baru ini.
Sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Turut diadakan adalah Betterfly Game yang dibukakan kepada pengunjung yang membeli tiket RB dengan pembayaran penuh dan berbelanja dalam jumlah minima $500, yang mana mereka berpeluang memenangi baucar diskaun 5 peratus untuk tiket-tiket penerbangan lain RB.

Selain daripada itu, acara-acara lain termasuk Kuiz Emcee di mana pengunjung yang memberikan jawapan betul akan menerima barangan RB di samping pondok-pondok foto dan sebagainya.

Antara ejen-ejen penerbangan yang akan menyertai Pesta Pelancongan Belait itu termasuk Panbright Sdn Bhd, Darussalam Holdings Sdn Bhd, Anthony Tours Sdn Bhd, Century Travel Sdn Bhd, Freme Travel Sdn Bhd, Southern Cross Travel Agencies, Pelancongan Malaysia, Bank Baiduri (bank rasmi), Bank Islam Brunei Darussalam, DST, Sabre Travel Network Brunei dan lainnya.

Pengunjung juga boleh membeli peruntukan bagasi tambahan, insurans dan tempat duduk pilihan di petak RB.

ARTIKEL YANG SAMA