Pesta Pelancongan Brunei 2 Sept.

Pesta Pelancongan Brunei 2 Sept.

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Pesta Pelancongan Brunei bakal kembali lagi buat kali ke-13 pada 2 sehingga 4 September ini di Dewan Serba Guna Green Quartz, Tingkat 7, Hotel Centrepoint, Gadong.

Pesta tiga hari anjuran Sabre Travel Network (Brunei) ini bakal menampilkan rakan-rakan kongsi pelancongan termasuk syarikat penerbangan, pejabat pelancongan negara, hotel-hotel dan ejen pelancongan pada platform yang unik.

Pengurus Kanan Pemasaran Jualan, Jabatan Pemasaran Sabre Travel Network (Brunei), Awang Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman berkata, antara agensi-agensi yang akan menyertai pesta pelancongan itu nanti ialah Anthony Tours & Travel Agency, At-Taqea Travel Tours, Century Travel Centre, Darussalam Holdings, Freme Travel Services, JJ Tour and Service, Pan Bright Travel Service, Southern Cross Travel Agencies dan Straits Travel Agensies.

Selain itu, antara organisasi pelancongan negara yang akan terlibat dalam pesta itu nanti ialah Sabre Travel Network (Brunei), Royal Brunei Airlines, Bank Baiduri Berhad, Bank Islam Brunei Darussalam, Lembaga Pelancongan Brunei, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia, Lembaga Pelancongan Sarawak, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand dan Biro Pelancongan Taiwan.

Awang Abdul Halim menjelaskan perkara ini semasa mempengerusikan sidang media yang berlangsung di Restoran Seasons, Hotel Centrepoint, Gadong, petang tadi.

Antara yang menyertai sidang media petang kelmarin.
Antara yang menyertai sidang media petang kelmarin.

Menurut beliau, pesta ini bertujuan untuk mempromosi dan mempamerkan produk dan perkhidmatan rakan-rakan kongsi pelancongan dengan tawaran menarik di bawah satu bumbung.

Semasa pesta itu, para pengunjung berpeluang mendapatkan tambang penerbangan, kadar-kadar hotel dan pakej yang menarik, pakej haji dan umrah, produk-produk pelancongan perubatan seperti pemeriksaan kesihatan dan insurans perjalanan.

Selain itu, tambah beliau lagi, para pengunjung yang membuat tempahan dan pembelian semasa pesta itu juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti satu set goPro HERO4 dan tambahan tiga lagi peluang bagi mereka yang membuat pembayaran menggunakan kad debit atau kredit Bank Baiduri.

Manakala itu, Pengurus Besar Sabre Travel Network (Brunei), Irene Soon pula menyatakan bahawa Sabre akan menyediakan lebih 50 terminal kepada sembilan agensi pelancongan yang menyertai pesta itu nanti.

Beliau berharap agar para pengunjung tahun ini akan lebih ramai daripada seramai 13,800 orang pengunjung pada tahun lepas.

Pesta Pelancongan Brunei ini akan dilancarkan pada 2 September dan dijangka hadir bagi menyempurnakan pelancarannya ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengurus Negara Royal Brunei (RB), Evelyn Ang; Pengurus Pemasaran RB, Awang Alirahim bin Haji Abdul Rani; Ketua Pemasaran Singapore Airlines, Wong Siaw Ling; Ketua Rangkaian Cawangan dan Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Aariz Patrick Ng dan Pengarah Tourism Malaysia Brunei, Dayang Zurina binti Abdul Samad.