Pesta Pendidikan UK 24 Ogos ini

Pesta Pendidikan UK 24 Ogos ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Persatuan Brunei Universiti-universiti Britain (BUBA) akan mengadakan Pesta Pendidikan United Kingdom (UK) tahunan ke-4 pada 24 Ogos 2016 di Dewan Indera Samudera 1, Hotel Empire & Country Club.

Sebanyak 24 buah universiti dari seluruh UK akan menyertai pesta ini termasuklah Bahagian Pendidikan Tinggi dari Kementerian Pendidikan UK, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Pesta itu bukan sahaja menyasarkan pelajar yang bercadang melanjutkan pembelajaran di UK pada tahun 2017 atau 2018, malahan menawarkan peluang terakhir bagi mana-mana pelajar yang masih ingin mendaftar bagi kemasukan September 2016.

Pengerusi BUBA, Kimberly Tritton berkata, “BUBA berbesar hati untuk sekali lagi dapat terlibat dengan para pelajar Brunei, sekolah-sekolah, kolej-kolej, universiti dan pertubuhan Pendidikan Tinggi.  Kami ingin menemui para pelajar yang berhasrat belajar di peringkat antarabangsa dalam tahun 2016, 2017 dan tahun-tahun mendatang.”

Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam David Campbell berkata, “Pesta Pendidikan musim panas UK adalah peluang hebat bagi para pelajar untuk mendengar langsung daripada para perwakilan dari universiti-universiti Britain tentang pilihan jurusan dan kehidupan sebagai seorang pelajar.  Kami gembira UK masih menjadi pilihan yang disukai bagi majoriti rakyat Brunei yang merancang belajar di luar negara.”

Pesta akan diadakan antara pukul 2 petang hingga 7 malam.  Butiran lanjut dan nama-nama institusi yang menyertai boleh diperoleh di laman web www.buba.ac.uk/he-fair.  Para pelajar dinasihatkan membawa bersama salinan kelayakan dan transkrip apabila mereka berkunjung ke pesta ini.

ARTIKEL YANG SAMA