Pesta pengguna ke-18 buka tirai

Pesta pengguna ke-18 buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Dean Kassim

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Pesta Pengguna ke-18 membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas di mana pesta kali ini turut menampilkan pesta makanan.

Perasmian Pesta Pengguna yang dinanti-nantikan setiap tahun ini telah disempurnakan oleh Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gapar.

Juga hadir ialah Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting dan Pengarah Eksekutif, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah bersama para jemputan khas, pegawai-pegawai kerajaan, duta dan pesuruhjaya tinggi, ketua organisasi serta rakan kongsi aktiviti sepanjang pesta tersebut diadakan.

Dato Paduka Haji Danial dalam ucapan alu-aluannya berkata antara tujuan pesta seumpamanya diadakan adalah untuk membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) untuk mempromosikan produk-produk mereka.

Dato Paduka Haji Suhaimi ketika merasmikan Pesta Pengguna ke-18 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika merasmikan Pesta Pengguna ke-18 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Dato Paduka Haji Suhaimi bersama Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Biravij Suwanpradhes semasa meninjau Pesta Pengguna.
Dato Paduka Haji Suhaimi bersama Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Biravij Suwanpradhes semasa meninjau Pesta Pengguna.
Brunei Press Sdn Bhd turut terlibat dalam Pesta Pengguna ke-18.
Brunei Press Sdn Bhd turut terlibat dalam Pesta Pengguna ke-18.

pg05_160526_c

“Dengan menyediakan platform untuk para pengusaha PKS mencipta peluang-peluang bagi meningkatkan kesedaran pemasaran yang lebih baik serta memberikan peluang-peluang mencipta rangkaian perniagaan,” jelasnya.

Beliau menambah, para pengunjung juga memainkan peranan positif dalam acara yang sama sebelum ini, dengan pesta pengguna baru-baru ini, menurutnya, telah menunjukkan peningkatan jumlah pengunjung dan berharap lebih banyak pengunjung pada Pesta Pengguna kali ini.

“Bukan hanya 400 pondok yang terdiri daripada peniaga tempatan dan antarabangsa, Pesta Pengguna kali ini juga akan menampilkan Pesta Makanan,” jelasnya lagi.

Pesta Pengguna ke-18 ini menampilkan sebanyak 180 pempamer tempatan dan antarabangsa iaitu dari Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Pakistan, Kemboja, India, Singapura dan Brunei Darussalam.

Selain menyediakan pelbagai pilihan kategori produk dan perkhidmatan, lebih banyak pengalaman masak-memasak turut diadakan.

Bagi pesta kali ini, himpunan barang-barang promosi daripada pempamer akan ditampilkan dalam risalah ‘Biggest Deal in Town’, memberikan peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan tawaran hebat.

Selain itu, Jabatan Pertanian Lanjutan Thailand juga akan membawakan Pameran Besar-Besaran Thailand ke-9 dan salah satu pamerannya mengetengahkan buah-buahan dari negara itu.

Sarawak Timber pula akan membawakan makanan tradisi Sarawak, Malaysia.

Pesta Pengguna ke-18 juga telah menerbitkan In-Fair Magazine edisi 3 yang menampilkan artikel dari industri makanan dan minuman dan profil cef yang memenangi anugerah dari Taiwan dan Malaysia.

Kejutan daripada beberapa tawaran hebat juga boleh didapati dalam majalah tersebut serta jadual aktiviti yang bakal diadakan sepanjang pesta berlangsung.

Sempena pesta makanan yang diadakan, demonstrasi masakan juga diadakan dengan menampilkan ramai cef yang memenangi anugerah, yang terdiri dari kelas membuat kek oleh Bake Culture, kelas memasak dan demonstrasi oleh Her’s Kitchen serta cef dari Malaysia dan demonstrasi seni Piccolo’s latte.

Aktiviti-aktiviti menarik yang turut diadakan sepanjang pesta itu termasuk pula termasuk ‘Junior Chefs Cookout’ dan ‘Family Cook Out’ oleh Her’s Kitchen, cabaran menghias ais krim, Treasure Hunt Maze oleh Wonder Theme Sdn Bhd, pondok foto dan kempen menderma darah.

Tidak ketinggalan juga cabutan bertuah utama yang sering dinanti-nantikan oleh orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA