Pesta Pengguna ke-18 dijangka meriah

Pesta Pengguna ke-18 dijangka meriah

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Penganjur Pesta Pengguna ke-18, D’Sunlit Sdn Bhd hari ini telah menandatangani perjanjian dengan Brunei Press Sdn Bhd dan Bake Culture, masing-masing selaku rakan acara dan rakan aktiviti pesta berkenaan yang akan berlangsung pada 25 hingga 29 Mei depan.

Menandatangani bagi pihak D’Sunlit ialah Pengarah Urusan, Jackson Ting manakala bagi Brunei Press Sdn Bhd pula diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar Brunei Press, Hazizah Osman bersama Pengurus Kanan (Kewangan dan Operasi) Brunei Press, Suzie Houng manakala Bake Culture diwakili oleh Pengarahnya, Wu Chun dengan disaksikan bersama dua orang pengarah Bake Culture yang lain, David Tan dan Chris Limp.

Majlis penandatanganan tersebut juga diselajurkan dengan penyampaian baju acara rasmi yang diserahkan oleh Jackson Ting. Pada Pesta Pengguna yang juga akan mengetengahkan pesta makanan itu, Bake Culture bakal mengendalikan kelas membuat kek oleh cef-cef yang memenangi beberapa anugerah dari luar negara. Pendaftaran bagi kelas tersebut kini telah dibukakan kepada orang ramai dengan menghantar borang penyertaan ke pejabat D’Sunlit atau Bake Culture atau mendaftar secara online di www.bruneiconsumerfair.com.

Yuran pendaftaran adalah, $55 bagi setiap sesi dengan terma dan syarat yang ditetapkan, dan 20 orang peserta pertama yang membuat pendaftaran juga akan menerima apron edisi terhad secara percuma.

Gambar ramai bersama wakil-wakil D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Bake Culture.
Gambar ramai bersama wakil-wakil D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Bake Culture.

Kelas juga ditawarkan secara pakej iaitu $90 untuk dua sesi, $120 untuk tiga sesi dan $150 bagi empat sesi.

Hanya sembilan sesi sepanjang acara lima hari itu nanti.

Kelas yang menawarkan tempat yang terhad itu, membawakan dua tema yang terdiri daripada ‘European-style Baking’ dan ‘Sweet Buns’ untuk dipilih oleh para peserta.

Pesta Pengguna ke-18 yang turut disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat yang ditutup sementara dari 12 tengah hari hingga 2 petang untuk beri laluan Solat Jumaat.