Pesta Pengguna ke-20 buka tirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Pesta Pengguna ke-20 yang dinanti-nantikan ramai telah membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas di mana ia akan berlangsung selama lima hari hingga 28 Januari.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif D’Sunlit Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah, Pengarah Urusannya, Jackson Ting, duta-duta besar luar negara ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kerajaan, rakan-rakan kongsi Pesta Pengguna ke-20 serta para jemputan khas yang lain.

Jackson Ting semasa menyampaikan ucapannya menyatakan, bermula dengan hanya 60 petak pameran pada pesta pengguna kali pertama pada 2008, kini ia telah diadakan buat kali ke-20 yang telah berjaya melakar kejayaan terbarunya dengan peningkatan para peserta.

“Pesta Pengguna telah membuktikan bahawa ia berjaya memenuhi kemahuan para pelanggan dalam perkembangannya setiap tahun dengan penyertaan yang tetap daripada para peniaga dan juga kunjungan para pelanggan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, siri ke-20 ini akan mempelbagaikan lagi penyertaan belia-belia yang lebih kreatif bagi memberikan mereka peluang dan menyediakan sebuah platform untuk mereka mempamerkan produk-produk tempatan kepada orang-orang awam.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa hadir di majlis Perasmian Pesta Pengguna ke-20.
Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd semasa menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Dato Paduka Haji Danial dan Jackson Ting semasa merasmikan Pesta Pengguna ke-20 pagi tadi.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Syarikat DST yang telah menyertai siri Pesta Pengguna sebanyak 14 kali.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Syarikat Concepts Computer yang telah menyertai siri Pesta Pengguna sebanyak 15 kali.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Syarikat Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd yang telah menyertai siri Pesta Pengguna sebanyak 18 kali.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa berkunjung ke petak-petak pameran.

Dengan ini, jelas beliau lagi, ia diharap akan meningkatkan lagi kesedaran dan pendedahan terhadap kemahiran-kemahiran dan bakat belia tempatan serta meningkatkan lagi bakat-bakat belia muda yang sedia ada.

Menurut kenyataan yang diberikan, Pesta Pengguna ke-20 mengetengahkan tema ‘Remembering the Past, Celebrating the Present and Envisioning the Future’, di mana semasa pesta pengguna itu, terdapat sebuah kedai vintaj beraspirasikan kedai 90an yang akan membawa para pelanggan mengimbau kembali zaman kanak-kanak mereka melalui kegiatan permainan yang diadakan.

Pesta Pengguna ke-20 turut menampilkan Kempen ‘Missing Endangered’ yang merupakan projek kolaborasi pertama di antara WWF Malaysia dan D’Sunlit Sdn Bhd dengan 2,000 patung mini seramik gajah yang dipamerkan yang juga boleh dibeli oleh para pengunjung.

Kesemua patung gajah berkenaan telah diwarnakan oleh murid-murid dari 18 buah sekolah di Brunei, yang mana hasil jualan bagi projek kebajikan dan kempen kesedaran itu akan dihulurkan sepenuhnya kepada WWF Malaysia.

Semasa pesta berkenaan, orang ramai juga dapat menikmati dan mendapatkan inspirasi daripada Pameran Galeri Neon yang dikenali sebagai ‘After Glow’ di mana beberapa orang artis mural setempat dari Australia didatangkan untuk menghasilkan karya agung yang berkaitan dengan tema acara berkenaan.

Di samping itu, orang ramai juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dalam cabutan bertuah utama termasuk sebuah kereta Toyota Vios yang ditaja oleh D’Sunlit Sdn Bhd.

Majlis perasmian pagi tadi itu turut menyaksikan tetamu kehormat majlis menyampaikan sijil kepada para peserta pameran yang menyertai siri pesta pengguna tersebut lebih 10 kali dengan Syarikat Entrek (B) Sdn Bhd (Jollibee) menyertainya sebanyak 20 kali, sejak awal lagi.

Turut menerima sijil ialah Syarikat NBT Brunei Sdn Bhd, Syarikat Aliaa Sdn Bhd, Oregon Systems, Syarikat Perniagaan Malar Setia, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Takaful Brunei Darussalam dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang telah menyertai siri Pesta Pengguna sebanyak 18 kali sehingga ke hari ini.