Pesta Pengguna kembali lagi

Pesta Pengguna kembali lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Pesta Pengguna kembali lagi untuk edisi ke-18 dengan Festival Makanan berlangsung dari 25 hingga 29 Mei 2016 di Dewan Bridex, Jerudong dengan diskaun dan tawaran hebat bersama peluang untuk membawa pulang hadiah yang lumayan.

Festival Makanan ini bukan sahaja mempamerkan pelbagai makanan tetapi beberapa acara juga diadakan di mana para pengunjung berpeluang menyertai peraduan yang menjanjikan hadiah-hadiah yang lumayan.

Bahagian terhebat edisi kali ini ialah jualan produk gaya hidup, makanan dan minuman tempatan. Produk elektrik perkakasan rumah, seni dan kraf, penjagaan kesihatan dan insurans, mainan dan permainan, produk penjagaan anak damit, kosmetik, perkhidmatan profesional, fesyen dan produk kecantikan dari pelbagai negara juga bakal mewarnai pesta kali ini.

Produk Thailand sentiasa menjadi produk yang menonjol pada Pesta Pengguna terutamanya makanan mereka. Untuk edisi kali ini, Kedutaan Thailand mengambil 38 buah petak untuk memperagakan barangan hiasan, pakaian, aksesori, buah-buahan segar sebagai langkah untuk mengedarkan produknya dan mencari kerjasama jangka panjang dengan negara ini.

Perbadanan Pembangunan Perindustrian Balak Sarawak (STIDC) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak (MID) adalah antara kementerian dari negara jiran yang turut membuat pameran pada Pesta Pengguna ke-17.

Memandangkan respons memuaskan, mereka sekali lagi menempah 15 buah petak kali ini untuk mempromosi kelengkapan rumah berkualiti. Bagi pengumpul perabot yang ada kelas, kunjungan ke pesta kali ini pasti memberikan kepuasan kerana perabot yang dipamerkan adalah produk yang terbaik.

Pesta anjuran D’Sunlit Sdn Bhd yang diluluskan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ini dibukakan kepada orang ramai bermula dari 10 pagi hingga 10 malam. Pada hari Jumaat pameran akan ditutup sementara dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada Solat Jumaat.

Keterangan lanjut boleh didapati di www.bruneiconsumerfair.com, Facebook D’sunlit Sdn Bhd dan @dsunlit di Instagram atau hubungi Jabatan Pemasaran D’Sunlit di talian 2453666.

ARTIKEL YANG SAMA