Pesta Pengguna kembali lagi

Pesta Pengguna kembali lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Dis – Pesta Pengguna yang popular dalam kalangan penduduk Brunei bakal kembali lagi bagi edisi ke-17 pada 27 hingga 31 Januari 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Seperti edisi-edisi sebelumnya, tawaran-tawaran hebat bagi pelbagai produk dan perkhidmatan akan boleh didapati pada pesta pengguna terbesar di Brunei itu nanti, yang disertai oleh para peserta dari dalam dan luar negara.

Menurut kenyataan D’Sunlit Sdn Bhd selaku penganjur acara berkenaan, berbagai-bagai aktiviti turut menanti para pengunjung yang menawarkan hadiah-hadiah hebat.

Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuk ‘Did you c Sairol’, di mana para peserta berpeluang memenangi jersi Manchester United yang ditandatangani oleh Angel Di Maria dan Robin Van Persie, enam biji bola ditandatangani oleh pasukan Manchester United dan jersi DPMM FC yang ditandatangani oleh Sairol Sahari.

Selain itu, tiga pemenang utama dalam aktiviti mencari Mr. Brown yang hilang akan memenangi pakej percutian untuk dua orang bagi mengunjungi istana-istana Mr. Brown di Taiwan. Bekalan kopi Mr. Brown selama setahun serta barangan eksklusif juga menanti dalam aktiviti pemburuan berkenaan.

Orang ramai berkumpul semasa aktiviti pentas diadakan di Pesta Pengguna pada Jun lalu.
Orang ramai berkumpul semasa aktiviti pentas diadakan di Pesta Pengguna pada Jun lalu.

Kenyataan turut memaklumkan berita baik bagi peminat Doraemon apabila buat julung-julung kalinya pameran barangan kucing robot terkemuka itu akan diadakan semasa pesta selama lima hari berkenaan.

Aktiviti lain termasuk pertandingan makan Mi Sedap dan sesi penghargaan teh dengan mana-mana pembelian daripada The Coffee Bean & Tea Leaf pada pesta tersebut.

Kindy Kare International juga kembali lagi untuk menjaga dan menghiburkan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti sementara ibu bapa dan penjaga mengunjungi pesta.

Manakala itu, tarikan utama Pesta Pengguna ke-17 adalah cabutan utama yang menawarkan berbagai-bagai hadiah menarik untuk para pemenang bertuah. Di samping itu, Kopi Kapal Api juga akan mengadakan cabutan bertuahnya sendiri, memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah-hadiah besar.

Para pengunjung juga berpeluang untuk beramal dengan menderma darah pada kempen yang dikendalikan oleh Jabatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 30 Januari.

Keterujaan orang ramai bagi acara dua kali setahun ini dapat dilihat dalam media sosial dengan jumlah Likes yang diterima pada Facebook (D’Sunlit Sdn Bhd) dan Instagram (@dsunlit).

Bagi maklumat lanjut dan kemas kini, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial D’Sunlit atau menghubungi Bahagian Pemasaran D’Sunlit di talian 2453666.

Acara yang telah diluluskan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan ini akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali hari Jumaat, ditutup sementara dari 12 tengah hari hingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA