Pesta Penjagaan Cantik bantu tingkat ekonomi PKS

Pesta Penjagaan Cantik bantu tingkat ekonomi PKS

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 7 Sept – Pesta Penjagaan Cantik kini kembali lagi bagi membantu para pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengetengahkan produk-produk jualan dengan kali ini diadakan di Dewan Serba Guna Maktab Anthony Abell di sini di mana ia akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Pesta anjuran Cantik Event Management itu juga bermatlamat untuk meningkatkan ekonomi para pengusaha PKS serta menjadikan mereka sebagai peniaga yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pesta tersebut dibukakan kepada kunjungan ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bagi mengetengahkan pelbagai jenis jualan seperti makanan, minuman, pakaian, produk-produk kecantikan dan kesihatan serta perusahaan herba dan sebagainya.

Penyelia pesta, Awang Mohd Yakub bin Taip semasa ditemui Media Permata, memberitahu bahawa kira-kira 30 buah petak dan 13 buah meja telah disediakan dalam jualan kali ini, dan sambutan daripada penjaja dan pengunjung sangat menggalakkan.

Menurutnya, untuk memeriahkan lagi pesta jualan kali ini, penganjur telah menyediakan acara cabutan hadiah bertuah, dengan menawarkan pelbagai hadiah istimewa tajaan Cantik Event Management.

Pelbagai jenis jualan yang diketengahkan oleh peniaga-peniaga kecil dan sederhana, dengan harga yang sangat berpatutan.
Pelbagai jenis jualan yang diketengahkan oleh peniaga-peniaga kecil dan sederhana, dengan harga yang sangat berpatutan.

“Cabutan kami lakukan tiga kali pada setiap hari, dari pukul 8:30 malam, 9 malam dan 9:30 malam.

“Cara untuk menyertai cabutan hadiah bertuah adalah dengan berkunjung ke pesta jualan ini, dan membeli barangan minima $3 ke atas dan setiap petak atau meja penjaja akan memberikan kupon penyertaan bagi cabutan hadiah bertuah,” jelas beliau. Cantik Event Management yang telah ditubuhkan bulan lepas telah menganjurkan pesta jualan di daerah ini sebanyak dua kali, di mana kali pertama ia diadakan pada bulan Ogos di Dewan Persidangan. Mereka juga bercadang untuk mengadakannya setiap bulan bagi membukakan ruang dan peluang kepada peniaga-peniaga tempatan tampil bagi mengetengahkan perniagaan mereka. Setiap penyewa petak hanya dikenakan bayaran $350, manakala penyewa meja dikenakan bayaran $150, dan para peniaga yang menyertainya rata-rata menyatakan ia sangat berbaloi dan berpatutan serta berharap usaha meningkatkan kemajuan berniaga dalam kalangan orang tempatan akan diteruskan.

ARTIKEL YANG SAMA