Pesta Produk Halal Thai

Pesta Produk Halal Thai

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Bermula hari ini hingga 6 September, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan pameran produk halal dari Thailand dengan berkunjung ke Pesta Produk Halal Thai yang berlangsung di Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas.

Perasmian pesta selama tiga hari itu telah disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Haji Bakar selaku tetamu kehormat majlis, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri.

Hadir mengalu-alukan tetamu kehormat ialah Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chirdchu Raktabutr.

Yang Berhormat Pehin Haji Yahya membuka rasmi Pesta Produk Halal Thai, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya membuka rasmi Pesta Produk Halal Thai, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya ketika meninjau salah satu petak pameran di Pesta Produk Halal Thai .
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya ketika meninjau salah satu petak pameran di Pesta Produk Halal Thai .

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis itu, Tuan Yang Terutama berkata pesta anjuran Kedutaan Thailand itu adalah selaras dengan dasar kerajaan Thailand dan Brunei Darussalam dalam mempromosikan kerjasama erat dalam hal ehwal produk halal.

Menurutnya, pesta juga dijayakan bersama oleh beberapa pertubuhan dan organisasi termasuk Majlis Islam Pusat Thailand, Institut Standard Halal Thailand, Universiti Chulalongkorn, Jabatan Promosi Perindustrian dan Bank Islam Thailand.

Tuan Yang Terutama berkata perkembangan dan pertumbuhan minat dunia terhadap produk halal kian meningkat dan pesta ini bertujuan untuk memperkenalkan dan memberikan kesedaran kepada masyarakat di sini akan kapasiti Thailand selaku salah satu pengeluar produk-produk halal yang dipasarkan negara ini.

Selepas merasmikan pesta berkenaan, Yang Berhormat Pehin kemudian meninjau 20 petak pameran yang mengetengahkan produk-produk makanan, kosmetik, penghasilan dan perkilangan produk halal dari Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA