Pesta ria meriahkan Taman Peranginan Sg. Liang

Pesta ria meriahkan Taman Peranginan Sg. Liang

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 31 Jan – Pesta Tamu Ria Kampung Sungai Liang dilancarkan hari ini sebagai usaha untuk menghidupkan semula Taman Peranginan Kampung Sungai Liang dan menyerikan lagi suasana hari minggu bersama penduduk kampung di sini.

Pelancaran pesta berkenaan telah disempurnakan oleh Dato Paduka Dr. Haji Matsuny bin Haji Mohd Hussein yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Urusan Brunei Shell Petroleum dan mantan Timbalan Menteri Pembangunan, selaku tetamu kehormat majlis.

Selepas menyempurnakan pelancaran, beliau turut dipelawa untuk melihat pondok-gerai-gerai jualan serta aktiviti yang dianjurkan oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang. Bercakap dengan Media Permata selepas pelancaran tersebut, Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian memberitahu bahawa usaha bagi mengembalikan suasana kemeriahan pada hari minggu adalah salah satu inisiatif program MPK tersebut dalam menggalakkan orang ramai terutamanya keluarga untuk keluar beriadah di sini.

“Berbeza dari sebelum ini, kali ini MPK menyediakan dan mempelawa 23 buah gerai jualan dan aktiviti untuk kanak-kanak, diserikan lagi dengan persembahan daripada kugiran tempatan, gulingtangan dan sebagainya,” jelas beliau.

Gerai jualan keluarga Haji Mohd Isa.
Gerai jualan keluarga Haji Mohd Isa.
Haji Ibrahim menunjukkan produk dihasilkan Kampung Sungai Liang.
Haji Ibrahim menunjukkan produk dihasilkan Kampung Sungai Liang.
Kanak-kanak bermain salah satu aktiviti permainan.
Kanak-kanak bermain salah satu aktiviti permainan.

Selain itu, MPK Sungai Liang turut mempromosikan produk ‘Satu Kampung Satu Produk’ mereka, antaranya kerepek pisang dan agar-agar kering, yang dihasilkan dan dijual oleh Biro Ekonomi MPK kepada orang ramai dan telah mendapat sambutan baik sehingga akhir acara petang tadi.

Menurut Haji Ibrahim lagi, sebanyak 500 bagi kedua-dua produk tersebut pernah diagih-agihkan sebagai buah tangan kepada orang ramai ketika junjung ziarah semasa Hari Keputeraan yang lepas dan berhasrat untuk menjadikan produk-produk Kampung Sungai Liang ini sebagai ‘trademark’ pengenalan kepada orang ramai.

“Kami juga mengetengahkan Pengawasan Kejiranan MPK di sini untuk memberitahu kepada orang ramai akan fungsi dan peranan yang dimainkan oleh ahli-ahlinya dalam menjaga keselamatan penduduk kampung di sini,” tambah beliau lagi.

Dalam masa yang sama, ahli-ahli MPK Sungai Liang turut berhasrat untuk menjadikan Pesta Tamu Ria ini sebagai acara bulanan yang akan menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara bagi memperkenalkan Taman Peranginan Kampung Sungai Liang sebagai destinasi utama orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA