Pesta ria semarak Hari Menabung

Pesta ria semarak Hari Menabung

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Sempena Hari Menabung Kebangsaan 2016, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP), hari ini, telah mengadakan Pesta Ria Kewangan di Jerudong Park Colonnade.

Perasmian pesta itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong yang juga selaku ahli Lembaga Pengarah AMBD.

Pesta ria yang bermula jam 3 petang hingga 9 malam dengan tema ‘Generasi Celik Kewangan’ itu bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa dan anak mempelajari konsep-konsep pengurusan kewangan melalui aktiviti-aktiviti dan permainan yang dianjurkan oleh institusi-institusi yang ikut serta.

Antara institusi kewangan yang menyertai acara itu ialah TAP, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans TAIB, Takaful Brunei Keluarga (TBK), BIBD Securities, Bank Baiduri Berhad dan Bank Standard Chartered (SCB).

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali semasa merasmikan Pesta Ria Kewangan kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali semasa merasmikan Pesta Ria Kewangan kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali ketika tiba di Pesta Ria Kewangan kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali ketika tiba di Pesta Ria Kewangan kelmarin.

Setiap institusi ini mengadakan beberapa permainan interaktif yang direka untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai konsep menabung, perbelanjaan berhemat, penyediaan bajet dan pengurusan hutang.

Selain daripada itu, aktiviti menarik lain turut diadakan seperti Meet & Greet bersama artis tempatan Aziz Harun yang juga menyertai aktiviti permainan, persembahan barista, pertunjukan buih dan silap mata.

Kakitangan AMBD turut memeriahkan Pesta Ria Kewangan.
Kakitangan AMBD turut memeriahkan Pesta Ria Kewangan.
Persembahan sketsa dari SUAMPRIPAD semasa Pesta Ria Kewangan kelmarin.
Persembahan sketsa dari SUAMPRIPAD semasa Pesta Ria Kewangan kelmarin.
Orang ramai dan kanak-kanak menyertai aktiviti yang diadakan kelmarin.
Orang ramai dan kanak-kanak menyertai aktiviti yang diadakan kelmarin.

Acara itu juga dimeriahkan lagi dengan sebuah sketsa oleh para pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) selaku juara pertandingan sketsa yang diadakan sempena Global Money Week pada Mac lalu.

Pesta ria juga turut mengetengahkan peniaga tempatan seperti Delifrance, It’s A Grind, Aoyama Coffee, Brew Department, Piccolo Cafe, The Pantry, Henna Brunei dan Bait Al-Hijaab.

Di samping pesta ria ini, Pameran Perancangan Kewangan juga akan diadakan pada 28 Mei ini anjuran AMBD dengan kerjasama TAP akan diadakan di Kementerian Kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA