Pesta Sukan ITB ke-3 buka tirai

Pesta Sukan ITB ke-3 buka tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Tali digunting oleh Penolong Naib Canselor (Akademik) Institut Teknologi Brunei (ITB), Pengiran Dr Haji Mohd Esa Al-Islam, dan jatuhlah kain rentang bergulung sekali gus menandakan rasminya Pesta Sukan ITB Ke-3 2015, bermula pada petang ini.

Atlet dari empat buah ‘Rumah’ iaitu Bersatu, Maju, Membangun dan Mufakat akan bersaing dalam 10 acara sukan, iaitu Balapan & Padang, Frisbee, Bola Jaring, Futsal, Badminton, Dodgeball, Ragbi, Ping pong, Bola Keranjang dan Boling untuk merebut gelaran juara sekali gus menjulang Piala Rebutan tersedia.

Majlis Pembukaan Rasmi Pesta Sukan ITB Ke-3 2015 di Terak Putih, Fasa 2, Kampus ITB berkenaan telah turut mendengarkan ucapan alu-aluan daripada Ketua Exco Sukan, Majlis Perwakilan Pelajar ITB 2015/2016, Mohammad Shafi’ei bin Ferry Alfian.

Sebelum itu, kesemua atlet yang akan menyertai pesta sukan berkenaan telah beramai-ramai melafazkan Ikrar Sukan.

Ia diketuai bacaannya oleh Pesuruhjaya Kelab, Exco Sukan ITB, Awang Muhammad Haziq Wahiduddin bin Awang Burhanuddin.

Pengiran Dr. Haji Mohd Esa Al-Islam menyaksikan kain rentang Pesta Sukan ITB Ke-3 bergulung jatuh selepas tali pengikatnya beliau gunting sebagai tanda perasmiannya.
Pengiran Dr. Haji Mohd Esa Al-Islam menyaksikan kain rentang Pesta Sukan ITB Ke-3 bergulung jatuh selepas tali pengikatnya beliau gunting sebagai tanda perasmiannya.

Pesta Sukan anjuran Exco Sukan, Majlis Perwakilan Pelajar ITB 2015/2016 itu membawa moto ‘Berlumba bersama-sama untuk mencapai kejayaan’.

Pesta Sukan yang diharap banyak memberi manfaat itu dijadualkan berakhir pada 25 Oktober nanti di Kompleks Sukan Berakas. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA