Pesta Sungai meriahkan sambutan Hari Keputeraan

Pesta Sungai meriahkan sambutan Hari Keputeraan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 23 Ogos – Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun terus dimeriahkan hari ini dengan Pesta Sungai yang berlangsung di Sungai Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah yang turut melepaskan para peserta sebagai pembuka tirai perlumbaan.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, para pegawai kanan, ketua jabatan dan cawangan Daerah Temburong, orang ramai termasuk dari Limbang dan Lawas Sarawak Malaysia serta pelancong dari luar negara.

Majlis ini merupakan salah satu acara bagi menyambut dan memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan peringkat Daerah Temburong yang dibukakan penyertaan dari dalam dan luar daerah.

Ampuan Haji Salleh bin Ampuan Haji Judah selaku Pengerusi Pesta Sungai 2015 berkata dengan beberapa kategori perlumbaan perahu, acara itu sudah pasti akan menjadi tradisi budaya masyarakat orang Brunei serta akan lebih merangsang generasi muda untuk meminati serta mempertahankan tradisi tersebut.

Haji Abdul Hamid (tengah) selaku tetamu kehormat Pesta Pertanian dan Agrimakanan.
Haji Abdul Hamid (tengah) selaku tetamu kehormat Pesta Pertanian dan Agrimakanan.
Sebahagian Staf Rampai Pagi Radio Televisyen Brunei Temburong ketika berkunjung ke galeri pameran Pesta Pertanian dan Agrimakanan di Daerah Temburong.
Sebahagian Staf Rampai Pagi Radio Televisyen Brunei Temburong ketika berkunjung ke galeri pameran Pesta Pertanian dan Agrimakanan di Daerah Temburong.
Peserta bersedia untuk mengupas buah membangan dalam acara sampingan Pesta Pertanian dan Agrimakanan.
Peserta bersedia untuk mengupas buah membangan dalam acara sampingan Pesta Pertanian dan Agrimakanan.

Menurutnya lagi, dengan adanya penganjuran seperti ini akan dapat terus memupuk serta menyemai penyatuan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa dalam kerja berpasukan. ­

Selain daripada itu, turut memeriahkan sambutan perayaan di daerah ini ialah Pesta Pertanian dan Agrimakanan yang dilancarkan di Ruang Legar, Kompleks Utama Bumiputera Pekan Bangar, di sini, hari ini, oleh Haji Abdul Hamid.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Haji Sulaiman, wakil Pengarah Pertanian, Hajah Suria binti Zanuddin, para pegawai kanan, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Temburong, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Ketua Unit Pengembangan Pertanian Daerah Temburong, Dayang Zulwati binti Haji Abdul Razak berkata, sepanjang pesta dua hari tersebut beberapa aktiviti pertandingan, pameran dan jualan produk-produk pertanian dan agrimakanan oleh pengusaha-pengusaha tempatan juga diadakan di samping peraduan mewarna bagi kanak-kanak.

pg13_150824_d

Perlumbaan Bot Laju dan perahu memeriahkan lagi Pesta Sungai.
Perlumbaan Bot Laju dan perahu memeriahkan lagi Pesta Sungai.

pg13_150824_f

Menurut beliau lagi, selain memeriahkan sambutan perayaan pesta kali ini juga sebagai platform kepada pengusaha-pengusaha daerah ini untuk menjalin hubungan “Business Matching” sesama mereka dan dengan pengusaha luar bandar.

Antara yang menjadi tarikan pesta ini termasuk pertandingan buah-buahan tempatan, produk agrimakanan (kek), gubahan bunga hidup (orkid dan jenis daun lebar) serta ulam-ulaman dan pelbagai tanaman yang dibukakan penyertaannya kepada majlis-majlis perundingan mukim dan kampung.

Selain itu, para pengunjung juga berpeluang menyaksikan tunjuk cara pembuatan garam makanan ternakan di samping pameran yang diungkayahkan oleh Bahagian Tanaman dan Bahagian Ternakan bagi memberi serta menyalurkan maklumat khusus untuk pengusaha.

ARTIKEL YANG SAMA