Pesta Ulam-ulaman dirasmi

Pesta Ulam-ulaman dirasmi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Pesta Ulam-ulaman dan Pelbagai Tanaman 2015 anjuran Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah membuka tirainya hari ini, di kawasan Koridor Inovasi Bio (BIC) Zon A, Kampung Tungku yang sebelumnya dikenali sebagai Taman Agroteknologi, di mana ia akan berlangsung selama lima hari sehingga 4 Mei ini.

Hadir merasmikan pesta yang membawa tema Nikmatilah Khasiat Ulam-Ulaman Kitani ini ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah pesuruhjaya tinggi dan duta-duta asing ke Negara Brunei Darussalam, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri; Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah selaku pengerusi majlis serta ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan KPSSU serta pengusaha-pengusaha pertanian dan agrimakanan.

Antara objektif pesta ini diadakan adalah sebagai salah satu program jabatan bagi memperkenalkan kepelbagaian jenis ulam-ulaman dan pelbagai tanaman serta meningkatkan kesedaran mengenai khasiat dan pentingnya ulam-ulaman dalam hidangan setiap hari dengan cara mengubah trend makanan harian orang ramai khasnya generasi muda dan pengusaha.

Yang Berhormat Pehin meninjau lebih dekat lagi ulam-ulaman yang terdapat di negara ini.
Yang Berhormat Pehin meninjau lebih dekat lagi ulam-ulaman yang terdapat di negara ini.
Galeri pameran yang turut mendapat perhatian Yang Berhormat Pehin dalam lawatan itu.
Galeri pameran yang turut mendapat perhatian Yang Berhormat Pehin dalam lawatan itu.
Beberapa pengusaha yang turut menjual hasil ulam-ulaman dan buah-buahan mereka.
Beberapa pengusaha yang turut menjual hasil ulam-ulaman dan buah-buahan mereka.

Di samping itu, ia juga untuk meningkatkan hasil pelbagai tanaman serta meningkatkan sikap daya saing antara pengusaha supaya lebih proaktif dalam meningkatkan perusahaan mereka dan memberi peluang pemasaran dan interaksi sesama pengusaha.

Pesta ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang yang mana pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis ulam-ulaman, produk pertanian dan produk agrimakanan yang diusahakan oleh Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dari keempat-empat daerah.

Sepanjang pesta tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti telah dirancang antaranya gerai jual produk pertanian
dan agrimakanan, galeri pameran, seminar mengenai kelebihan dan khasiat herba serta ulam-ulaman tempatan yang disampaikan oleh tiga penceramah undangan iaitu Dr Abdul Ghani dari Malaysia, Nazli Anwari dari Singapura dan Mewsum Wong dari Brunei, selain konsultasi pinjaman PKS, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Agrimakanan.

Selain itu, pertandingan Ceria Ulam-ulaman dan Inovasi Pelbagai Tanaman 2015 dan peraduan mewarna, kuiz serta Fun & Games turut diadakan bagi memeriahkan lagi pesta tersebut.

Dengan adanya pesta ini, ia diharap dapat membuka peluang rangkaian pemasaran ulam-ulaman dan pelbagai tanaman antara PKS dalam padanan perniagaan.

Sejurus perasmian pesta tersebut, Yang Berhormat Pehin kemudian berkesudian mengadakan lawatan ke galeri-galeri pameran dan gerai pesta jualan.

ARTIKEL YANG SAMA