Pesta ulaman jana jualan $77,697.90

Pesta ulaman jana jualan $77,697.90

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Pesta Ulam-Ulaman dan Pelbagai Tanaman 2015 yang diadakan di kawasan Koridor Inovasi Bio (BIC) Zon A, Kg Tungku baru-baru ini telah mendapat sambutan hangat dan berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung serta menjana hasil jualan sebanyak $77,697.90.

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di sini, kategori ulam-ulaman, pelbagai tanaman dan buah-buahan segar mencatatkan hasil jualan berjumlah $20,398.30; makanan/produk proses berasaskan ulam-ulaman dan pelbagai tanaman (sos dan perisa, snek, minuman, acar & jeruk dan lain-lain) berjumlah $25,398; semaian / tanaman ulam-ulaman / pelbagai tanaman ($4,114); makanan segera ($4,160); gerai makanan dan minuman ($9,907.90); “makan sepuasnya” (panca ulam-ulaman) berasaskan ambuyat dan ayam penyet ($3,424.50) dan jualan beras ($10,295.20).

Pesta selama lima hari itu dengan tema “Nikmatilah Khasiat Ulam-Ulaman Kitani,” disertai- seramai 77 penjaja dengan jumlah petak jualan sebanyak 93 buah.

Pesta ini dianggap berjaya kerana secara purata setiap peserta petak jualan telah dapat meningkatkan penjualan serta pendapatan mereka dengan memperolehi hasil kira-kira $900-$1000 dalam masa 5 hari sahaja.

Menurut kenyataan itu lagi, pesta tersebut diharap dapat menggalakkan penanaman ulam-ulaman dan pelbagai tanaman bagi membantu dalam meningkatkan hasil pengeluaran pertanian setiap tahun seterusnya meningkatkan aktiviti pemprosesan.

Ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan para peladang dan membantu dalam menyediakan pekerjaan kepada penduduk negara agar mempunyai sikap berdikari daripada tidak mempunyai pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA