PeSTAB buat persembahan di KL

PeSTAB buat persembahan di KL

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Rombongan Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PeSTAB), semalam, berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sambutan Hari UNESCO Kuala Lumpur dan menyertai Persidangan dan Pertukaran Boneka ASEAN yang bermula esok sehingga 24 Mei 2015.

Rombongan PeSTAB diketuai oleh Pengerusi Persatuan Boneka ASEAN (APA) Brunei, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin, Pengerusi PeSTAB, Awang Seruddin bin Awang Damit, dan juga Penasihat PeSTAB, Pengiran Hajah Maskuin binti Pengiran Haji Mohammad.

Sepanjang persidangan itu nanti rombongan PeSTAB antara lain akan membuat persembahan boneka bertajuk Nakhoda Manis, Cerita Legenda Negara Brunei Darussalam hasil karya Awang Seruddin, yang akan mengendalikan sendiri persembahan bersama Pengiran Hajah Maskuin.

Rombongan dari negara-negara ASEAN lain juga akan membuat persembahan boneka di antaranya dari Singapura, Malaysia, Kemboja dan negara lain.

Sebelum ini PeSTAB telah mengadakan Bengkel Boneka 2015 selama dua hari pada 15 dan 16 Mei lalu. – Faridah Haji Ibrahim

Rombongan PeSTAB bergambar sejurus sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.
Rombongan PeSTAB bergambar sejurus sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.