Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei terima kunjungan hormat

Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei terima kunjungan hormat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Diraja Malaysia, Dato Paduka Seri Tan Sri Khalid bin Abu Bakar.

Kunjungan hormat berkenaan adalah bersempena dengan Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada Ketua Polis Diraja Malaysia dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam bersempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun, yang berlangsung di Istana Nurul Iman, baru-baru ini.

Dato Paduka Seri Tan Sri Khalid telah dikurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T) yang membawa gelaran Dato Paduka Seri.

Terdahulu, majlis kunjungan hormat berkenaan, Perbarisan Kehormat telah diadakan di Ibu Pejabat Polis, Jalan Tungku Gadong.

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy (kanan) bersama Dato Paduka Seri Tan Sri Khalid (kiri) semasa majlis kunjungan hormat di Ibu Pejabat Polis, Jalan Tungku Gadong.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy (kanan) bersama Dato Paduka Seri Tan Sri Khalid (kiri) semasa majlis kunjungan hormat di Ibu Pejabat Polis, Jalan Tungku Gadong.

Semasa kunjungan berkenaan, kedua-dua belah pihak membincangkan mengenai sokongan berterusan kedua-dua pasukan polis dalam mengukuhkan lagi kerjasama serantau dalam tugas kepolisian, latihan, program-program pertukaran, berkongsi maklumat dan bidang-bidang lain kepolisian yang boleh dipertingkatkan dan keupayaan masing-masing, serta isu-isu kepentingan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato Paduka Seri Tan Sri Khalid atas sokongan berterusan yang telah diberikan dan juga hubungan mesra dua hala antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Turut hadir pada kunjungan itu ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Mohammad Irwan bin Haji Hambali, pemangku timbalan pesuruhjaya polis dan pengarah-pengarah Pasukan Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA