Petak jualan terbakar, rugi dianggarkan $6,000

Petak jualan terbakar, rugi dianggarkan $6,000

Oleh Yusrin Junaidi &
Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Tindakan pantas beberapa orang pekerja telah berjaya mengelakkan kebakaran yang berlaku di salah sebuah petak jualan ekspo daripada merebak ke petak-petak lain di The Airport Mall, Berakas.

Kebakaran berpunca daripada sambungan longgar pada bahagian lampu kalimantang dan hampir memusnahkan kesemua barangan jualan di petak milik Awang Abdul khalid bin Moktar.

Seorang pekerja lelaki yang membantu memadamkan kebakaran berkenaan memberitahu, ketika kejadian, beliau sedang bertugas di kedai minuman dan tiba-tiba mendengar bunyi kecoh di ruang legar tersebut.

“Pada mulanya saya berfikir itu hanyalah pelajar kolej sedang bermain tetapi menyaksikan kebakaran api di salah sebuah pondok, saya dengan serta merta mengambil pemadam api untuk memadamkan api tersebut sebelum melarat ke pondok lainnya,” ujar beliau.

Sebuah petak jualan yang terbakar di The Airport Mall, Berakas menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak $6,000.
Sebuah petak jualan yang terbakar di The Airport Mall, Berakas menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak $6,000.

Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan bahawa pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 10:14 pagi dan telah mengerahkan 10 orang anggota dan dua buat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Berakas dan Unit Operasi Wanita dengan diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Haji Yusri bin Haji Ahmad.

Menurut mereka, sejurus tiba di tempat kejadian, api telah berjaya dipadamkan oleh beberapa orang pekerja dengan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk kering (ABC) dan karbon dioksida (CO2) kepunyaan syarikat masing-masing.

Kebakaran berlaku di petak nombor Y9 yang melibatkan sebahagian jualan pakaian. Lima orang pekerja dari Darussalam Holdings, dan seorang lagi dari Gong cha berjaya memadamkan kebakaran.

Pihak bomba menganggar kerugian sebanyak $6,000, bagaimanapun tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan.

Sehubungan dengan kejadian ini, pihak bomba menyarankan pengawasan dan penyambungan pendawaian hendaklah dikendalikan oleh orang yang bertauliah dalam bidang pemasangan elektrik dan hendaklah sentiasa peka kepada kerosakan peralatan elektrik secara visual/nyata.

Di samping itu, setiap peniaga juga dinasihatkan, sekurang-kurangnya, mempunyai peralatan memadam api sendiri untuk tindakan awal memadam kebakaran dan mengetahui kedudukan penempatan/penyimpanan alat pemadam api di sekitar kawasan tempat berniaga.

Pihak bomba juga merakamkan ucapan terima kasih atas tindakan beberapa orang pekerja di bangunan tersebut yang bertindak awal dalam memadamkan kebakaran daripada terus merebak dengan menggunakan alat pemadam api yang sesuai sebelum bantuan pihak bomba dan penyelamat sampai di tempat kejadian.

ARTIKEL YANG SAMA