Petanque Brunei terima tajaan

Petanque Brunei terima tajaan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Persekutuan Petanque Brunei Darussalam hari ini telah menerima sumbangan daripada Aewon Garment & Embroidery dan Bank Baiduri Sdn Bhd bersempena Kejohanan Petanque Piala Borneo Kali Ke-5 dan Kejohanan Petanque Antara Kelab Borneo Kali Ke-6 yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Hadir menerima sumbangan tajaan bagi pihak persekutuan tersebut ialah Presiden Persekutuan Pentaque Brunei Darussalam, Awang Abdul Ghani bin Dato Paduka Haji Mohd Ali.

Manakala menyampaikan sumbangan yang berupa pakaian kejohanan dan pertandingan tajaan Aewon Garment & Embroidery ialah Penolong Pengurus Besarnya, Awang Kevin Law X Q.

Sementara itu, sumbangan tajaan bernilai $1000 dari Bank Baiduri Sdn Bhd disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Pemasarannya, Haji Muizzaddin bin Dato Paduka Haji Adnan.

Selesai penyerahan tajaan berkenaan, Awang Abdul Ghani telah menyampaikan semua pakaian pertandingan kepada para pemain kebangsaan yang akan mewakili negara di Kejohanan Petanque Piala Borneo Kali Ke-5 Brunei Darussalam 2015.

Awang Abdul Ghani (duduk tengah) bersama wakil penaja, AJK Tertinggi Persekutuan Petanque NBD dan para pemain kebangsaan yang menyertai kejohanan berkenaan.
Awang Abdul Ghani (duduk tengah) bersama wakil penaja, AJK Tertinggi Persekutuan Petanque NBD dan para pemain kebangsaan yang menyertai kejohanan berkenaan.

Kejohanan Petanque Piala Borneo Kali Ke-5 Brunei Darussalam 2015 akan berlangsung pada Ahad, 6 Disember ini di Gelanggang Petanque, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Kejohanan itu akan mempertandingkan Kategori Single, Double dan Triple Lelaki, Kategori Single, Double dan Triple Perempuan dan Mix Double.

Kejohanan Petanque Antara Kelab Borneo Kali Ke-6 Brunei Darussalam 2015 yang mempertandingkan acara Double Terbuka akan berlangsung pada Jumaat, 5 Disember dan Sabtu, 6 Disember di tempat yang sama.

Sejumlah 74 buah pasukan akan menyertai kejohanan berkenaan iaitu 19 pasukan dari Brunei Darussalam, 35 pasukan dari Negeri Sarawak dan 20 pasukan dari Negeri Sabah.

Mewakili Brunei Darussalam ialah BSB (15 pasukan) dan BSB MOD (4 pasukan), manakala Negeri Sabah diwakili Kota Kinabalu (19 pasukan) dan Politeknik Sabah (1 pasukan).

Negeri Sarawak pula diwakili Poyut Son (1 pasukan), Limbang (4 pasukan), MLNG (7 pasukan), PPBB Bintulu (4 pasukan), SKO Miri (6 pasukan), PSPBM Miri (4 pasukan), Jepak Bintulu (2 pasukan), PSPBK Kuching (2 pasukan) dan Bintangor (5 pasukan).

ARTIKEL YANG SAMA