Peter Sagan menangi Jelajah California

Peter Sagan menangi Jelajah California

PASADENA, AS, 18 Mei – Peter Sagan dari Slovakia memenangi Jelajah California 2015, sekali gus melengkapkan perlumbaan selama lapan hari dengan penyudah dramatik di tangga ketiga pada peringkat terakhir semalam.

Penunggang dari Tinkoff-Saxo itu menang hanya dengan tiga saat di depan pendahulu sepanjang malam, Julian Alaphilippe (Etixx-Quick-Step), yang memenangi jersi kuning selepas memenangi peringkat sukar ketujuh Sabtu lalu yang tamat di atas kemuncak Mount Baldy.

“Ia begitu hampir dan amat sukar,” kata Sagan mengenai kemenangan dengan margin yang hampir. “Saya melakukan kejutan. Saya hampir memikirkan saya tidak dapat melakukannya. Saya merasa gembira dengan kemenangan itu.”

Mark Cavendish dari Britain memenangi peringkat kelapan dari Los Angeles ke Pasadena dalam pecutan dengan masa dua jam, 14 minit 55saat dalam kemenangan peringkat keempat Cavendish dan kelima bagi pasukan Etixx-Quick-Step dalam perlumbaan itu.

Sagan yang berada di tangga ketiga bagaimanapun memberikannya masa bonus yang mencukupi untuk menguasai gelaran secara keseluruhan. Dia berkata dia tidak berada dalam perlumbaan dengan harapan tinggi untuk memenangi gelaran keseluruhan.

Tetapi selepas memenangi peringkat keempat, dia mendapatkan jersi kuning pada peringkat keenam Jumaat lalu – ujian masa yang dipendekkan kepada hanya 10.6 kilometer selepas dipindahkan dari Big Bear Lake ke Santa Clarita.

Dia menyusulinya dengan pendakian dari Ontario ke Mount Baldy dan kehilangan jersi kuning ke Alaphilippe dengan hanya dua saat.

“Saya merasa gembira,” katanya. “Saya tidak pernah merasakan saya akan memenangi klasifikasi umum dalam Jelajah California. Setiap tahun perlumbaan ditentukan pada pendakian dan tahun ini saya bekerja keras bagi peringkat ini.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA