Petinju British koma selepas tewas perlawanan

Petinju British koma selepas tewas perlawanan

pg23_160329_cLONDON, 28 Mac (AFP) – Peninju Britain, Nick Blackwell (gambar) berada dalam keadaan koma selepas berdepan kekalahan pada perlawanan merebut gelaran domestik, semalam.

Perlawanan bagi merebut tali pinggang middleweight British di Wembley Arena, London itu menyaksikan pertarungan Blackwell dengan Chris Eubank Jr terpaksa dihentikan pada pusingan ke sepuluh selepas doktor memutuskannya tidak mampu meneruskan saingan.

Doktor membuat keputusan terbabit selepas mata kiri Blackwell tidak dapat dibuka yang bermakna dia tidak boleh meneruskan pertarungan.

Ini bukan kali pertama pertarungan yang membabitkan keluarga peninju terkenal, Eubank berakhir dengan lawannya terpaksa dibawa ke hospital.

Pada 1991, Michael Watson berdepan kecederaan membabitkan otak yang hampir meragut nyawanya selepas tewas kepada Chris Eubank senior pada pusingan ke-11 dalam perlawanan merebut gelaran super-middleweight Organisasi Tinju Dunia (WBO) di Tottenham Hotspur, London.

Watson terselamat namun ketika itu tiada ambulans mahu pun doktor pada perlawanan terbabit yang memaksanya menunggu selama beberapa minit sebelum diterima rawatan.

Begitupun, insiden itu menjadi medan perubahan dalam sukan tinju dunia yang menyaksikan pegawai perlawanan wajib ditempatkan ketika pertarungan.

Blackwell, 25, dibawa keluar daripada gelanggang menggunakan pengusung dan kekal di dalam hospital dan diletakkan dalam pemerhatian rapi.

Setiausaha Agung Lembaga Kawalan Tinju British, Robert Smith berkata, “Saya bercakap dengan salah seorang doktor pada pagi ini dan dia berkata ada pendarahan di dalam otaknya.

“Dia diletakkan dalam penjagaan rapi, dia diletakkan dalam keadaan koma dan berehat selain diperhatikan oleh pakar-pakar.

“Ia adalah prosedur yang biasa. Mereka akan meletakkan kamu dalam koma untuk mengelak kamu menjadi lebih teruk. Tiada jangka masa. Ketika ini adalah tunggu dan lihat.”

Juara dunia kategori heavyweight, Tyson Fury, hari ini melakukan tweet bagi mengucapkan selamat kepada Blackwell.