Petronas ambil alih aset di Azerbaijan

Petronas ambil alih aset di Azerbaijan

BAKU, Azerbaijan, 3 Mei (Bernama) – Syarikat gergasi minyak dan gas Malaysia, Petronas selesai mengambil alih aset berkaitan minyak dan gas di Azerbaijan, selepas menandatangani perjanjian jual beli dengan Statoil yang berpangkalan di Norway, pada Oktober tahun lepas.

Pengerusi Negara Azerbaijan bagi Petronas, Zainal Abidin Zainudin berkata Petronas menyelesaikan urus niaga itu pada 30 April dan kini memiliki secara rasmi 15.5 peratus kepentingan dalam perjanjian perkongsian pengeluaran Shah Deniz di Laut Caspian, 12.4 peratus dalam Azerbaijan Gas Supply Co serta 15.5 peratus dalam South Caucasus Pipeline Co.

Sebelum ini dilaporkan Statoil menjual pegangannya dalam projek Shah Deniz dengan nilai AS$2.25 bilion. Perjanjian itu merupakan pembelian ketiga terbesar Petronas selepas pengambilalihan Progress Energy Resources di Kanada bernilai AS$5.7 bilion pada 2012 dan projek LNG (gas asli cecair) Gladstone di Australia bernilai AS$2.5 bilion pada 2008. (AS$1=RM3.55)

Zainal Abidin berkata pembelian itu meletakkan Petronas pada kedudukan strategik dalam medan pengeluaran di Azerbaijan, negara yang kaya minyak, di mana syarikat tersebut terbabit dalam projek pembangunan bernilai sekitar AS$38 bilion.

“Pengambilalihan itu adalah sebahagian strategi kami untuk menunjukkan kehadiran kami di sini dan ia sebahagian strategi jangka panjang kami dalam mengembangkan perniagaan di sini,” katanya ketika ditemui dalam jamuan malam di kediaman Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan Datuk Roslan Abdul Rahman.

Pengerusi Negara Azerbaijan bagi Petronas, Zainal Abidin Zainudin mengumumkan bahawa Petronas telah selesai mengambil alih aset minyak dan gas di Azerbaijan. – Bernama
Pengerusi Negara Azerbaijan bagi Petronas, Zainal Abidin Zainudin mengumumkan bahawa Petronas telah selesai mengambil alih aset minyak dan gas di Azerbaijan. – Bernama

Jamuan malam itu sebagai meraikan delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ke Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Campur Tiga ke-18 (AFMGM+3) dan Mesyuarat Tahunan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mei di sini.

Medan Shah Deniz yang ditemui pada 1999, terletak di Laut Caspian selatan kira-kira 70 kilometer dari tenggara Baku dan dioperasikan oleh BP Plc dengan rakan kongsi lain ialah State Oil Co of the Azerbaijan Republic, Turkish Petroleum Corporation, Lukoil dari Rusia dan National Iranian Oil Co.

Penerokaan Petronas dalam industri minyak dan gas Azerbaijan merupakan yang kedua di wilayah Caucasus selepas ia memeterai perjanjian perkongsian pengeluaran selama 25 tahun dengan kerajaan Turkmenistan pada 1996.

Zainal Abidin berkata projek seterusnya mungkin dalam industri hiliran memandangkan Azerbaijan tidak mempunyai projek petrokimia, selain memanfaatkan potensi Caucasus yang merupakan pengeluar terbesar minyak dan gas dunia.

“Kami di sini untuk jangka masa lama dan akan terus berada di sini selagi perniagaannya bagus,” katanya.