Petronas bina 5 prasekolah di kawasan Penan

Petronas bina 5 prasekolah di kawasan Penan

KUCHING, 31 Julai (Bernama) – Lebih ramai kanak-kanak kaum Penan berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah apabila lima sekolah di bawah Program Pendidikan Komuniti (Penan) Kawasan Apoh/Tutoh di daerah Baram dalam Bahagian Miri tajaan Petronas mula beroperasi Januari tahun depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata lima sekolah berkenaan akan dibina di Long Jenalong, Long Kerangan, Long Leng, Long Kawa dan Long Selulong melalui bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Petronas dengan peruntukan RM2.75 juta.

Katanya, sekolah berkenaan akan menyediakan peluang pendidikan awal kanak-kanak secara terancang kepada kanak-kanak Penan dalam lingkungan usia di bawah tujuh tahun di kawasan Apoh-Tutoh.

Selain itu, katanya ia juga menyediakan ruang kepada komuniti setempat untuk terlibat secara aktif dalam pengasuhan, bimbingan dan pendidikan anak-anak mereka.