Petronas bina asrama di Pulau Balambangan

KUDAT, 12 Okt – Petronas akan membina sebuah Asrama Harian Luar Bandar di Pulau Balambangan sebagai satu daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bagi meningkatkan mutu pendidikan pelajar di pulau berkenaan.

Selain blok bangunan asrama lelaki dan perempuan, asrama yang akan dibina bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan, di atas tapak seluas satu hektar itu juga akan dilengkapi dengan dewan makan, surau dan tandas. Tender bagi pembinaan akan dikeluarkan bulan ini manakala pemberian kontrak kepada kontraktor yang berjaya akan dibuat pada bulan Februari tahun hadapan.

Kerja pembinaan asrama harian dijangka dimulakan pada Mac 2018 dan dijadualkan siap pada Ogos 2019.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raina Azni Abdul Rahman berkata pendidikan mampu memperkasakan individu untuk meningkatkan taraf hidup dan memberikan sumbangan yang bermakna ke arah perkembangan dan kemakmuran komuniti mereka dan kepada negara. – Bernama