Petronas Dagangan peruntuk RM400 juta belanja modal

Petronas Dagangan peruntuk RM400 juta belanja modal

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) – Petronas Dagangan memperuntukkan kira-kira RM400 juta untuk perbelanjaan modal (capex) bagi membiayai pengembangan operasi dalam tahun ini, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

“Sebahagian besar daripada perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk menambah antara 15 dan 20 stesen petrol, tetapi lokasinya akan bergantung kepada permintaan pasaran,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran kempen runcit bagi pemegang ‘Kad Mesra’ di sini hari ini.

Petronas Dagangan merupakan peruncit terkemuka dan pemasar minyak hiliran dan produk gas.

Perniagaan runcit syarikat itu telah berkembang menjadi rangkaian runcit petroleum yang terbesar di Malaysia dengan lebih 1,000 stesen dan 725 Kedai Mesra.

Kempen runcit untuk ‘Kad Mesra’ adalah di antara inisiatif yang sedang diperkenalkan oleh syarikat tersebut untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan melalui rangkaian perniagaannya yang luas.

Sementara itu, Mohd Ibrahimnuddin berkata syarikat itu terus mengekalkan strateginya termasuk membuat pengurusan inventori yang berhemah bagi menangani kemelesetan harga minyak dunia.

Langkah-langkah penjimatan juga telah memberikan kesan yang positif kepada syarikat.

“Kami terus menggunakan strategi-strategi yang telah dibuat dalam 2015 dan kami rasa ia masih sesuai digunakan untuk 2016.

“Kami menjangkakan 2016 akan menjadi tahun yang sukar. Kami tidak tahu bagaimana bentuk cabaran yang akan datang tetapi kami mempunyai rancangan untuk menangani apa sahaja senario pasaran.

“Strategi ini juga akan mengerakkan syarikat pada masa depan,” katanya.