Petronas dijangka jadi pemimpin EOR luar pesisir global

Petronas dijangka jadi pemimpin EOR luar pesisir global

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka menjadi pemimpin global dalam perkhidmatan pemulihan minyak dipertingkat (EOR) di luar pesisir, susulan kejayaan projek perintisnya di Terengganu.

Ketua Bahagian Teknologi, Global Teknikal, Dr Nasir Darman, berkata dengan teknologi EOR, Petronas dapat meningkatkan pengeluaran medan minyak luar pesisir Tapis di Terengganu kepada 10,000 tong sehari berbanding 2,000 hingga 3,000 tong sebelum ini.

EOR merupakan proses mengekstrak minyak daripada simpanan minyak dengan menggunakan kaedah tertentu, termasuk pemulihan terma, suntikan gas dan suntikan kimia.

“Selain mendapat pengalaman, kami turut membangunkan keupayaan EOR kami sendiri yang boleh dipindahkan ke luar negara apabila wujud peluang,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) Asia 2016 Ke-2 di sini hari ini.

Nasir berkata Petronas menyasarkan untuk meluaskan perkhidmatan EOR ke Mexico, Sudan dan Myanmar, antara lainnya, sebaik harga minyak global pulih.

Mengenai cabaran daripada harga minyak rendah kepada pembangunan EOR, katanya Petronas akan terus membangunkan teknologi baharu untuk menyesuaikan dengan keadaan industri gas dan minyak global semasa.

“Dalam keadaan sekarang, kami memerlukan teknologi yang lebih besar untuk menerima cabaran dan memastikan kami dapat melaksanakan EOR pada kos yang lebih rendah berbanding apa yang kami tawarkan pada masa ini,” katanya.

Bertemakan ‘Kecemerlangan di Asia”, OTC Asia 2016 selama empat hari yang bermula pada Selasa, menghimpunkan profesional minyak dan gas dari seluruh dunia untuk membincangkan mengenai pengetahuan teknikal dan saintifik untuk sumber luar pesisir dan alam sekitar.