PETRONAS hulur bantuan kepada komuniti

PETRONAS hulur bantuan kepada komuniti

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) – PETRONAS bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyerahkan sumbangan barangan keperluan makanan dan bantuan peralatan sekolah kepada penduduk kurang bernasib baik di Kampung Mundas Tungku, Lahad Datu, Sabah, pada 6 Jun lalu.

Penerima bantuan makanan dan peralatan sekolah seramai 30 orang dan mereka terdiri daripada anak-anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mereka adalah sebahagian daripada golongan sasaran bagi Program Sahabat Maritim, iaitu satu inisiatif PETRONAS dan APMM bagi mendekati masyarakat Sabah di persisiran pantai dan memberi kesedaran kepada komuniti nelayan tentang keselamatan ketika di laut.

Majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 300 penduduk tempatan ini turut menyaksikan penyerahan 30 jaket keselamatan dari pihak PETRONAS dan APMM kepada golongan nelayan di kawasan tersebut.

Pengerusi PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Mohamed Firouz bin Asnan berkata, Selaku syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat yang berada di kawasan tempat mereka beroperasi.

Program Sahabat Maritim merupakan platform khidmat masyarakat untuk PETRONAS mendekati komuniti nelayan dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran tentang pentingnya keselamatan ketika keluar ke laut.

“Kami amat prihatin akan keselamatan nelayan, sepertimana kami menitikberatkan keselamatan pekerja-pekerja di PETRONAS. Oleh itu, saya berharap dengan aktiviti yang dijalankan pada hari ini membolehkan kita bersama-sama memastikan penduduk dan pekerja bebas dari sebarang ancaman,” tambah Firouz.

Pada hari yang sama, sukarelawan PETRONAS dan APMM bersama-sama penduduk kampung telah bergotong-royong membersihkan gelanggang futsal dan persisiran pantai serta mengecat semula Masjid Kampung Mundas Tungku.

Selain itu, sukarelawan PETRONAS dan PETROSAINS turut mengadakan taklimat bagi mempromosi aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan alam sekitar di kalangan penduduk setempat.