Petronas jalani eksplorasi, penilaian secara agresif

Petronas jalani eksplorasi, penilaian secara agresif

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), akan meneruskan aktiviti eksplorasi dan penilaian secara agresif walaupun perskitaran harga minyak yang rendah.

Pengurus Besar Pengurusan Petroleum Mohd Redhani Abdul Rahman berkata Petronas menganggap aktiviti berkenaan merupakan antara tonggak strategi utama yang baik untuk Malaysia sejak lima hingga 10 tahun lepas.

“Sejak lima tahun lepas, sejumlah 970 telaga eksplorasi digerudi di Asia Tenggara, dan kira-kira satu perlima daripadanya, atau 171 telaga, digerudi dalam perairan Malaysia.

“Sejumlah 970 telaga yang digerudi menyumbang tambahan 10 bilion tong bersamaan minyak, dengan Malaysia menyumbang separuh daripada penambahan itu,” katanya pada Persidangan dan Pameran Petroleum dan Geosains Asia (APGCE) 2015 di sini hari ini.

Mohd Redhani merupakan ahli panel sesi khas bertajuk ‘Cabaran eksplorasi Asia Tenggara: Inovasi Geosains dan Penyelesaian Perniagaan’, yang membincangkan faktor kejayaan baru-baru ini dan potensi kejayaan akan datang dalam penemuan penting sumber hidro karbon baharu di Asia Tenggara.

pg19_151013_a

Beliau berkata Petronas memperakui bahawa industri minyak dan gas di Malaysia semakin matang dan apa yang tinggal untuk diteroka membabitkan kawasan yang lebih berisiko.

“Kami akan terus mendengar kehendak pasaran dan akan terus menyemak semula penggal fiskal supaya setimpal dengan risiko yang diambil oleh pelabur,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu juga akan mengguna pakai pendekatan bersesuaian seperti akses pasaran yang lebih mudah untuk syarikat bermodal kecil.

“Ini bermakna kami akan memastikan data kami lebih terbuka, kami akan mempunyai pelbagai pelanggan seperti pel-bagai pelanggan pertama untuk kajian seismik laut dalam luar pesisir Sabah, dan kami akan mula memulakan repositori data terbuka mulai 2016,” katanya. – Bernama