Petronas labur lebih RM300b di Sarawak

Petronas labur lebih RM300b di Sarawak

KUCHING, 22 Nov (Bernama) – Petrolian Nasional Bhd (Petronas) bertapak kukuh di Sarawak menerusi pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM300 bilion dalam aktiviti dan projek huluan, pertengahan dan hiliran, kata Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LNG Group of Companies Dzafri Sham Ahmad.

Beliau berkata bagi projek huluan, terdapat 60 medan pengeluaran minyak dan gas – 26 minyak dan 34 gas – yang menghasilkan pada purata bersamaan 850 kilo tong minyak sehari (kboe/d).

“Selain itu, terdapat 206 medan yang sudah ditemui namun belum menjana kewangan,” katanya pada Malam Media Petronas 2015 di sini Sabtu malam.

Dzafri berkata bagi projek pertengahan, terdapat tiga kemudahan iaitu Kompleks LNG Petronas di Bintulu; Projek Train 9 Petronas dan kemudahan terapung LNG.

Bagi projek hiliran, beliau berkata kini terdapat dua unit beroperasi di Sarawak iaitu Kilang Baja Bintulu Asean yang menghasilkan 0.6 juta tan urea setahun (MPTA), menjadikannya kilang urea berbutir terbesar di Asia selain pengeluaran 0.4 MTPA ammonia.

“Cabang dagangannya, Petronas Dagangan mengurus dan mengoperasikan lima terminal bahan api, empat kemudahan bunker, empat depot penerbangan, dua kilang pengisian LPG dank 81 stesen servis,” katanya.

Dzafri berkata Petronas Dagangan juga mengedar bahan api kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.