Petronas lancar Program FAiEH

Petronas lancar Program FAiEH

LABUAN, 26 Julai (Bernama) – Petronas telah melancarkan Program Pertolongan Cemas Di Setiap Rumah (FAiEH) di Labuan untuk menyediakan kemahiran pertolongan cemas dan mewujudkan budaya mementingkan keselamatan dalam kalangan masyarakat di sekitar projek utama Petronas dan operasinya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia yang diadakan di Kampung Sungai Miri itu membabitkan lebih 20 penduduk kampung.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Julita Ontol berkata program itu yang bermula pada 2012 telah memberi manfaat kepada seisi rumah di Pengerang Johor Baharu, Long Bedian dan Long Luping di Sarawak.

“Kg Sg Miri dipilih sebagai kampung pertama bagi program itu sebelum ia diperluas ke kampung lain. Kami mahu mewujudkan hubungan rapat dengan masyarakat di sini,” katanya. Beliau berharap penduduk kampung yang terlibat akan menjadi ejen maklumat untuk program itu.

“Kami juga berharap melalui program ini, orang ramai akan lebih berpengetahuan mengenai keselamatan, kesihatan dan alam sekitar,” katanya.

Antara para penduduk di Kg Sg Miri Labuan yang mengambil bahagian dalam Program FaiEH. – Bernama
Antara para penduduk di Kg Sg Miri Labuan yang mengambil bahagian dalam Program FaiEH. – Bernama