Petronas Lubricants jalin perkongsian dengan Halfords Group

Petronas Lubricants jalin perkongsian dengan Halfords Group

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Petronas Lubricants International Sdn Bhd (PLI) hari ini mengumumkan jalinan perkongsian dengan Halfords Group plc, peruncit produk permotoran dan kayuhan Britain yang beroperasi di United Kingdom (UK) dan Ireland.

Perkongsian runcit itu sekaligus membolehkan Petronas Syntium dengan CoolTech dipasarkan secara langsung buat julung-julung kali kepada pengguna di negara berkenaan.

Petronas Syntium dengan CoolTech merupakan minyak enjin yang diformulasikan khusus menangani haba enjin berlebihan bagi mengekalkan prestasi optimum untuk pemanduan lancar.

Minyak berkenaan dipasarkan di 415 rangkaian runcit Halfords mulai 8 Julai 2016, menurut PLI dalam satu kenyataan.

Ketua Rantau Eropah PLI, Alessandro Orsini, berkata UK merupakan pasaran pertumbuhan utama bagi PLI dan syarikat mempunyai perancangan giat untuk menguasai lima peratus daripada pasaran berkenaan.

“Kami akan meningkatkan lagi jumlah jualan sebanyak 55 peratus menjelang 2021,” katanya, dengan menambah Halfords merupakan rakan kongsi tepat untuk membantu syarikat mencapai sasaran.

Dalam laporan minyak pelincir global 2015 yang diterbitkan oleh Kline & Co, pasaran minyak pelincir automotif pengguna di UK adalah kukuh dan diunjur meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) satu peratus sehingga 2019.

“Permintaan minyak motor kenderaan penumpang di UK menyumbang kira-kira 84 peratus daripada segmen automotif pengguna,” menurut laporan berkenaan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA