Petronas mula pengeluaran lapangan Tanjong Baram

Petronas mula pengeluaran lapangan Tanjong Baram

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) – Petronas mengumumkan pengeluaran minyak dari Lapangan Tanjong Baram di Sarawak bermula pada 18 Ogos lalu.

Lapangan itu dikendalikan di bawah Kontrak Perkhidmatan Risiko (RSC) dengan EnQuest Petroleum Development Malaysia Sdn Bhd sebagai pengendali dalam kerjasama dengan syarikat tempatan, Uzma Energy (Sarawak) Sdn Bhd.

Tanjong Baram adalah RSC kelima yang mencapai pengeluaran minyak selepas Berantai, Kluster Balai, Kluster Kapal Banang Meranti (KBM) dan Tembikai.

Lapangan Tanjong Baram dianggarkan mengeluarkan purata 2,000 tong minyak sehari. Lapangan minyak itu terletak di luar pesisir pantai Miri, Sarawak.

Pembangunannya terdiri daripada pelantar ringan yang tidak dikendalikan manusia dengan pengeluarannya dihubungkan kepada kompleks Pelantar Penggerudian Lutong Barat (WLDP) Petronas Carigali Sdn Bhd melalui saluran paip pengeluaran fleksibel.

Naib Presiden Pengurusan Petroleum Malaysia syarikat itu, Muhammad Zamri Jusoh, berkata Petronas menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan projek dan kontraktor Tanjong Baram yang berdedikasi dalam mencapai pengeluaran minyak pertama.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan menandakan satu lagi penanda aras kejayaan projek RSC kepada Petronas.

“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan kerjasama rakan RSC,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Setakat ini, Petronas sudah memberi enam RSC termasuk lapangan Berantai kepada Petrofac dan Sapura Kencana Petroleum Bhd pada Januari 2011.

Projek RSC lain ialah Kluster Balai luar pesisir Sarawak kepada konsrtium terdiri daripada Roc Oil Malaysia (Holdings) Sdn Bhd, Dialog Group Bhd dan E&P Venture Solutions Sdn Bhd pada Ogos 2011; Kluster KBM kepada Coastal Energy KBM Sdn Bhd pada Jun 2012; dan Kluster Tembikai Chenang kepada VESTIGO Petroleum pada Oktober 2013.

Lapangan Tanjong Baram dianugerahkan kepada EnQuest Petroleum Developments Malaysia dan Uzma Energy Venture (Sarawak) pada Mac 2014 manakala lapangan Ophir diberikan kepada Ophir Production Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Octanex Pte Ltd, Scomi D&P Sdn Bhd dan VESTIGO Petroleum Sdn Bhd pada Jun 2014.