Petronas pemangkin Mercedes

Petronas pemangkin Mercedes

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Petronas, rakan kerjasama teknikal pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG ternyata menjadi pemangkin kepada kejayaan hatrik pasukan itu dalam Kejuaraan Pengeluar bagi musim ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Md Arif Mahmood berkata kejayaan itu merupakan satu sejarah buat Petronas dan Merc AMG dalam siri perlumbaan dunia F1 dan membuktikan Petronas bukan sekadar penaja sebaliknya bertindak sebagai rakan teknikal.

“Ini tahun ketiga kita menang Constructor Championship. Kami sentiasa bergerak selari dan bekerjasama dengan Merc AMG dalam menyediakan pelincir dan minyak yang sesuai digunakan untuk siri perlumbaan.

“Ternyata penggunaan pelincir dan minyak Petronas mampu meningkatkan perkembangan prestasi enjin dan kereta itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas sesi bergambar sempena kemenangan hatrik itu.

Pasukan Merc AMG Petronas mengesahkan Kejuaraan Pengeluar selepas mengumpul 593 mata pada edisi kali ini selepas 17 pusingan pada perlumbaan Grand Prix Jepun di Trek Perlumbaan Antarabangsa Suzuka minggu lepas.

Gambar ramai bersama 600 kakitangan Petronas bagi memperingati kejayaan hatrik pasukan itu dalam Kejuaraan Pengeluar bagi musim ini di Dewan Filharmonik Petronas kelmarin. – Bernama
Gambar ramai bersama 600 kakitangan Petronas bagi memperingati kejayaan hatrik pasukan itu dalam Kejuaraan Pengeluar bagi musim ini di Dewan Filharmonik Petronas kelmarin. – Bernama

Lebih membanggakan, pelumba Mercedes AMG Petronas, Nico Rosberg dan Lewis Hamilton juga turut mengungguli kedudukan 1-2 carta kedudukan dunia bagi kategori pelumba.

Md Arif berkata dahulu Petronas hanya terlibat dalam penajaan pasukan namun kini perkembangan pelincir bagi kegunaan jentera dilaksanakan oleh Petronas.

Untuk perancangan perlumbaan siri musim hadapan, Petronas mengakui bahawa mereka telah mula merangka pelan dan perancangan awal bagi memastikan pasukan Mercedes AMG Petronas mengekalkan kejuaraan seterusnya.

Mengulas mengenai kontrak Petronas dengan pasukan Mercedes AMG yang bakal berakhir pada tahun 2017, Md Arif berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan bagi menyambung kontrak tersebut. – Bernama