Petronas peroleh kelulusan projek LNG Kanada

Petronas peroleh kelulusan projek LNG Kanada

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas, yang memperoleh kelulusan bagi projek loji gas asli cecair (LNG) di utara British Columbia daripada kerajaan Kanada, akan melihat syarat-syarat yang diberikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata beliau baru sahaja menerima laporan itu dan belum memeriksanya dengan teliti.

“Pengumuman baru dibuat pagi ini. Kami memerlukan masa untuk melihat syarat-syaratnya dan kemudiannya akan menilai projek itu,” katanya kepada pemberita di luar acara Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) ketiga, di sini.

Petronas dan rakan-rakan kongsinya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Kanada selama tiga tahun untuk membina terminal eksport Pacific NorthWest LNG bernilai AS$35 bilion di utara British Columbia.

Rakan-rakan kongsinya bagi projek tersebut ialah Brunei National Petroleum Co, China Petroleum & Chemical Corp, Indian Oil Corp, dan Japan Petroleum Exploration Co. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA