Petronas sedia bantu cari gali minyak

Petronas sedia bantu cari gali minyak

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) – Petronas sedia mempertimbangkan penyertaannya dalam usaha cari gali minyak bersama di kawasan sempadan Venezuela dan Trinidad and Tobago, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata ia akan bergantung kepada pelawaan dari Venezuela dan Trinidad and Tobago, dan jika syarat serta terma kepada usaha itu sesuai.

Perkara itu dibincangkan semasa Anifah mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya, Delcy Rodriguez ketika lawatan kerja ke Venezuela pada 26 hingga 27 Ogos.

Menteri Luar (Anifah) mengatakan bahawa syarikat minyak dan gas negara, Petronas bersedia berkongsi pengalaman dan kepakaran, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Petronas sedia bantu cari gali minyak bersama di kawasan sempadan Venezuela dan Trinidad dan Tobago. – Reuters
Petronas sedia bantu cari gali minyak bersama di kawasan sempadan Venezuela dan Trinidad dan Tobago. – Reuters

Menurut kenyataan itu juga, kedua-dua pihak menyampaikan komitmen masing-masing untuk mengembangkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang seperti industri berasaskan kelapa sawit, pertanian, minyak dan gas, pembangunan infrastruktur, pelancongan dan pendidikan tinggi.

Anifah menggalakkan penglibatan yang lebih besar dari sektor swasta dalam meneroka peluang perniagaan antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua kementerian itu juga bersetuju supaya lebih banyak pertukaran lawatan tahap tinggi yang akan membina hubungan dan persefahaman lebih erat,” tambah kenyataan itu.

Tambahnya, Malaysia juga menawarkan pegawai Venezuela untuk menyertai kursus yang dikendalikan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan menggalakkan lebih ramai penuntut melanjutkan pengajian tinggi mereka di Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA