Petronas selaraskan harga minyak

Petronas selaraskan harga minyak

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) – Petronas akan terus melaksanakan langkah-langkah pengurangan kos, menumpukan ke atas projek menguntungkan, selain mengintai peluang pengambilalihan di luar negara dalam menyelaraskan harga minyak yang turun naik.

“Kali ini ramai yang menganggap harga minyak rendah untuk tempoh masa yang lebih lama, dan oleh itu semua syarikat termasuk kami, sedang menyelaraskan capex (perbelanjaan modal),” kata Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Wee Yeow Hin kepada Bernama.

Tidak seperti kitaran sebelumnya pada 1998/1999, dengan harga kembali stabil pada 2000, dan kemelesetan ekonomi dunia 2008 yang menyaksikan harga susut sehingga AS$45 setong dan pulih pada 2009, kali ini tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan harga minyak akan meningkat kepada AS$100 setong dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Bagi minyak, kontrak jangka pendek bermakna kontrak setahun, tidak seperti LNG yang mempunyai kontrak jangka panjang, sehingga 20 hingga 30 tahun. Projek tidak semestinya menguntungkan dalam tempoh itu, justeru syarikat mengurangkan atau menangguhkannya.

“Kami hanya melaksanakan projek yang menguntungkan dalam tempoh masa yang kami tetapkan dan perlu mengurangkan kos. Bagaimana hendak menjalankan projek secara lebih pintar, dipermudah dan kos yang lebih rendah?” kata Wee.

Naib Presiden Eksekutif merangkap CEO Huluan Petronas, Datuk Wee Yeow Hin.
Naib Presiden Eksekutif merangkap CEO Huluan Petronas, Datuk Wee Yeow Hin.

Untuk itu, Petronas kini menerajui usaha bagi keseluruhan industri, menerusi inisiatif Pakatan Pengurangan Kos (Coral 2.0) membabitkan 25 kontraktor utamanya (PAC) bagi menjayakan perubahan struktur dalam persekitaran perniagaan huluran minyak dan gas di Malaysia.

“(Kami mengkaji) untuk mengubah cara melaksanakan kerja, mereka bentuk projek yang lebih murah, menjalin usaha sama dalam bidang yang boleh meningkatkan kecekapan, pelarasan dan pemusatan operasi. Kami sudah memulakannya di Petronas pada Januari dan berjaya menjimatkan beratus juta,” katanya.

Untuk masa hadapan, Wee berkata Petronas akan memberi tumpuan ke atas bidang yang menyediakan pertumbuhan dan nilai.

Beliau berkata Malaysia akan tetap menjadi keutamaan, kini menyumbang kira-kira 65 peratus perniagaannya.

“Saya rasa ia sesuai buat masa ini, dan kami mengkaji semula setiap dua tahun. Namun bidang tumpuan kami untuk minyak ialah di luar negara dan mengikut geografi, kita seperti Afrika Barat, berdasarkan prospeknya yang besar,” kata Wee.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa daripada RM70 bilion perbelanjaan modal yang diperuntukkan Petronas tahun ini, RM54 bilion akan dibelanjakan di Malaysia. Perniagaan huluan Petronas meliputi 24 negara yang berasaskan pertumbuhan nilai dengan penerokaan terbaharu dalam minyak sal.

ARTIKEL YANG SAMA