Petronas terajui 25 PAC

Petronas terajui 25 PAC

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) – Petronas kini menerajui usaha industri melibatkan 25 kontraktor pengaturan petroleum (PAC) untuk menerima pakai perubahan struktur dalam persekitaran perniagaan huluan minyak dan gas (O&G) di Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Sidek Hassan berkata, inisiatif itu, iaitu Perikatan Pengurangan Kos (Coral 2.0), bertujuan menyemai minda mementingkan kos di kalangan penggiat industri.

“Ia bukan hanya eksesais pengurangan kos. Lebih daripada itu, ia adalah untuk memastikan kecergasan dan kemapanan perniagaan kita,” katanya di majlis perasmian Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-15, di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun penggiat industri tidak boleh meramal kepastian harga minyak pada masa depan, mereka boleh bersedia mengharungi sebarang turun naik dengan terus berinovasi.

Sidek berkata, harga minyak yang lemah menawarkan peluang kepada penggiat industri untuk bekerjasama rapat secara kreatif mengurangkan struktur kos dan terus berinovasi bagi menjadikannya lebih cekap, selamat dan hijau secara sistematik.

Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.
Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.

“Petronas telah mengumumkan pemotongan 15 peratus perbelanjaan modal dan 25 peratus perbelanjaan operasi. Tetapi apa yang boleh kita capai secara individu, lebih banyak lagi boleh kita capai secara perikatan,” tambahnya.

Mengenai pembangunan O&G global, beliau berkata, output industri itu tumbuh pada kadar yang cepat dipacu oleh revolusi syal yang telah merobah pasaran minyak dan gas Amerika Syarikat.

Menurutnya, AS kini mengeluarkan kira-kira 9.0 juta tong sehari, pertumbuhan 80 peratus daripada 5.0 juta tong dihasilkan pada 2008.

Permintaan minyak global dijangka bertambah 1.1 juta tong sehari tahun ini.

Sementara itu, pameran tiga hari itu menarik lebih 2,000 pempamer daripada lebih 50 negara, mempamerkan teknologi, kelengkapan dan jentera terkini dalam industri minyak, gas dan petrokimia.

Pameran itu dijangka menarik lebih 23,000 pengunjung.