Petugas antarabangsa mulakan pertemuan

Petugas antarabangsa mulakan pertemuan

DAMSYIK, 1 Mac (AFP) – Pekerja bantuan semalam mengadakan penghantaran bantuan pertama sejak bermulanya gencatan senjata Syria, tatkala pasukan petugas antarabangsa bertemu untuk merangsang gencatan senjata tersebut.

Pasukan petugas yang dipengerusikan bersama oleh Moscow dan Washington mengadakan rundingan di Geneva untuk menilai dakwaan berlakunya pelbagai pencabulan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menjadi perantara kepada gencatan senjata berusia tiga hari itu.

Pada hujung minggu, penyokong rejim utama Rusia saling bertuduhan sesama kumpulan pembangkang utama, Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC), mengenai pencabulan gencatan senjata.

Semalam, Rusia berkata tujuh pencabulan dicatat dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, “gencatan senjata di antara tentera kerajaan dan tentera pembangkang pada keseluruhannya sedang diawasi,” kata Jeneral Sergei Kuralenko, yang ditugaskan untuk mengawasi gencatan senjata untuk Moscow, dipetik dalam kenyataan kementerian pertahanan.

HNC melaporkan dua pencabulan oleh tentera rejim di Daraa, selatan Syria, dan dua oleh kapal perang Rusia di tengah wilayah Hama.