Peugeot 308 GT Line gah, menawan

Peugeot 308 GT Line gah, menawan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – TCY Motors selaku pengedar tunggal jenama Peugeot di Brunei telah memperkenalkan Peugeot 308 GT Line, kepada warga media tempatan pada acara pratonton di Coffee Bean & Tea Leaf, Centerpoint, Gadong, di sini, hari ini.

Versi 308 ini merupakan varian Peugeot pertama yang diperkenalkan di Brunei, dan sebagai varian eksklusif dan dinamik dengan menyasarkan peminat permotoran.

Di bahagian dalam, 308 GT Line menawarkan semua ciri-ciri yang diharapkan daripada model hatchback premium.

Spesifikasi termasuk bantuan meletak kereta depan dan belakang, radio digital DAB, USB dan kamera undur, semuanya dikawal daripada skrin sesentuh warna pelbagai fungsi bersaiz 9.7 inci dengan skim warna garisan merah pada skrin sesentuh, mengetengahkan lagi sentuhan sportif kenderaan berkenaan.

Bahagian dalam GT Line ini mencerminkan sentuhan premium termasuk kerusi sportif mewah dengan jahitan warna merah yang selesa dan memberi sokongan, dengan penyesuaian lumbar bagi pemandu dan penumpang depan yang termasuk fungsi urutan.

Peugeot 308 GT Line.
Peugeot 308 GT Line.
Ruang dalam yang dilengkapi dengan peralatan moden yang canggih.
Ruang dalam yang dilengkapi dengan peralatan moden yang canggih.

Selain itu, bahagian dalaman juga menampilkan stereng gaya GT dengan jahitan berwarna merah yang sepadan, alas kaki gaya GT dan ambang pintu dalam serta pedalnya mempunyai sentuhan aluminium bagi memberikan rekaan kontemporari.

GT Line juga dilengkapi lampu utama LED sepenuhnya, terletak di samping penanda arah yang menonjol dan lampu kabus.

Dengan pelbagai jenis beg udara, kawalan cruise dengan pengehad kelajuan, 308 GT Line telah menerima rating lima bintang daripada Euro NCAP bagi ciri-ciri keselamatannya yang cemerlang.

308 GT Line boleh dikenal pasti dengan rim tayar sportif, paip ekor berkembang sportif yang bergaya, skim garisan warna merah bagi skrin sesentuh, lampu depan LED sepenuhnya, penanda arah LED, ambien sportif dan terbaik dengan gabungan warna hitam dan merah dan sentuhan GT Line pada rangkanya.

ARTIKEL YANG SAMA