Peugeot Crossover lebih sportif

Peugeot Crossover lebih sportif

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – T.C.Y Motors Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan jenama Peugeot di Brunei telah melancarkan keluaran model terbaru Peugeot 2008 Crossover di Mall Hua Ho, Manggis.

Para pengamal media tempatan, hari ini, telah dijemput untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model terbaru ini, di mana taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Perhubungan Awam dan Pengiklanan TCY Motors Sdn Bhd, Alvin Caro.

Model yang dipamerkan memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat dan mengenali fungsi-fungsi yang ada di dalamnya dan sejarah Peugeot 2008 yang sering kali menjuarai Perlumbaan Rali Dakar.

Model kali ini tampil dengan menggabungkan hatchback dan Sport Utility Vehicle (SUV) berbentuk ‘Crossover’ yang serba lengkap di bawah segmen B.

Peugeot 2008 Crossover mempunyai penambahan rekaan dari lampu utama DRL LED dan gril double-bar dengan kekemasan krom yang menghiasi bahagian hadapannya cukup menarik perhatian.
Peugeot 2008 Crossover mempunyai penambahan rekaan dari lampu utama DRL LED dan gril double-bar dengan kekemasan krom yang menghiasi bahagian hadapannya cukup menarik perhatian.

Tarikan dari segi reka bentuknya adalah bentuk lampu utama DRL Led dengan grill double-bar dan kekemasan krom yang menghiasi bahagian hadapannya, menonjolkan lagi gaya moden dan sportif kereta tersebut.

Sementara itu, dengan Peugeot i-Cockpit, ruang dalam 2008 pula bukan sahaja luas dan selesa tetapi padat dengan inovasi terkini. Papan pemukanya dilengkapi skrin sesentuh berdefinisi tinggi (HD) berukuran tujuh inci yang membuatkan kokpit kereta itu terasa mewah.

Daripada segi kuasanya, ia dimuatkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder DOHC 16-injap VTi yang dipadankan dengan gear automatik 5-kelajuan dan mampu menjana kuasa sehingga 122 PS dan 160 Nm Tork.

Sebagai keselamatan, model ini dilengkapi enam beg udara, dua ISOFIX, Electronic Safety Program (ESP) dengan ciri Anti-Skid Regulator (ASR), DSC (Dynamic Stability Control), EBA dan Electronic Breaking Distribution (EBD) yang pernah menerima anugerah keselamatan lima bintang ENCAP.