Pewaris Samsu...

Pewaris Samsung disiasat sebagai suspek skandal Park

SEOUL, 12 Jan – Pewaris Samsung Lee Jae-Yong disoal oleh pendakwa Korea Selatan hari ini selepas menjadi tersangka jenayah dalam skandal rasuah yang membelenggu Presiden Park Geun-Hye.

Lee, pengerusi Samsung Electronics dan anak lelaki pengerusi Kumpulan Samsung Lee Kun-Hee, sedang disoal berhubung dakwaan rasuah, kata pendakwa semalam.

Beliau juga dituduh melakukan sumpah bohong ketika mesyuarat parlimen pada bulan lalu mengenai kejadian tersebut, kata mereka.

“Saya meminta maaf kerana menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai kejadian ini,” kata Lee ketika beliau tiba di pejabat pendakwa khas yang menyiasat kes tersebut.

Lee dan peguamnya disambut oleh berpuluh-puluh wartawan dan pembantah yang mengibar panji-panji serta melaung ‘tangkap Lee dengan serta-merta’ dan menggelarnya ‘subahat’ dalam skandal itu.

Lee Jae-yong (tengah) tiba sebagai suspek untuk disoal siasat dalam skandal rasuah yang membawa kepada pendakwaan Presiden Park Geun-Hye, di pejabat pendakwaan bebas di Seoul pada 12 Januari. – AFP
Lee Jae-yong (tengah) tiba sebagai suspek untuk disoal siasat dalam skandal rasuah yang membawa kepada pendakwaan Presiden Park Geun-Hye, di pejabat pendakwaan bebas di Seoul pada 12 Januari. – AFP

Jurucakap pejabat pendakwa Lee Kyu-Chul berkata mereka akan memutuskan sama ada mendapatkan waran mahkamah untuk menahannya secara formal apabila soal siasat beliau sudah selesai.

“Kami akan, sudah tentunya, juga menyiasat tuduhan mengatakan naib pengerusi Lee melakukan sumpah bohong” ketika mesyuarat parlimen, beritahu jurucakap kepada wartawan.

Agensi berita Yonhap memetik seorang penyiasat yang tidak dikenal pasti sebagai berkata kemungkinan pendakwa mendapatkan waran tangkapan adalah ‘tinggi’.

Lee dinamakan seorang tersangka jenayah dalam siasatan semalam.

Skandal itu menumpu pada rakan rahsia Park Choi Soon-Sil, yang dituduh menggunakan hubungannya dengan presiden untuk memaksa firma terkenal dalam “menyumbang” berpuluh juta dolar kepada dua yayasan bukan keuntungan yang digunakan oleh Choi sebagai ATM peribadi beliau.

Samsung adalah penyumbang terbesar kepada yayasan berkenaan. – AFP