Pewaris Samsu...

Pewaris Samsung pulang selepas disoal siasat

SEOUL, 13 Jan – Pewaris Samsung, Lee Jae-Yong pulang ke kediamannya hari ini selepas soal siasat meletihkan oleh pihak pendakwa Korea Selatan sebagai tersangka dalam skandal besar rasuah yang melibatkan pendakwaan Presiden Park-Geun-Hye. Pihak pendakwa berkata kini mereka akan membuat keputusan pada hujung minggu sama ada untuk mendapatkan waran untuk secara rasmi menangkap Lee atas dakwaan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Lee dituduh sebagai suspek jenayah Rabu lalu dalam penyiasatan yang semakin meluas ke atas skandal penyalahgunaan pengaruh yang menyelubungi Park dan rakan karibnya Choi Soon-Sil.

Timbalan Pengerusi Samsung Electronics yang juga anak lelaki kepada pengerusi Kumpulan Samsung Lee Kun-Hee, telah disoal siasat selama 22 jam berhubung dakwaan rasuah.

Nampak letih, dia tidak memberi respons kepada soalan dari para wartawan yang menanti di luar pejabat pendakwa khas ketika dia meninggalkan pejabat itu.

“Soal siasat mengambil masa yang lama kerana banyak perkara untuk diteliti dengannya dan kerana terdapat percanggahan” antara apa yang dipercayai oleh pihak penyiasat telah berlaku dan kenyataan Lee, menurut jurucakap pejabat pendakwa, Lee Kyu-Chul.

Jika mahkamah mengeluarkan waran tangkap esok atau Ahad, Lee akan menjadi taikun perniagaan Korea Selatan pertama ditangkap dalam penyiasatan yang diperluaskan ke atas skandal itu. Tiga orang lagi eksekutif Samsung juga mungkin akan ditangkap, menurut jurucakap.

Lebih 12 orang telah pun ditangkap dalam kes ini, termasuklah Choi dan anak saudara perempuannya, bekas menteri kebudayaan, seorang bekas menteri kesihatan, seorang bekas penolong tertinggi presiden bagi hal ehwal ekonomi dan seorang profesor kolej.

Di Korea Selatan adalah lumrah bagi suspek-suspek dan saksi untuk bersetuju dengan sesi soal siasat yang lama untuk mengelak berulang kali dipanggil oleh pihak penyiasat. – AFP