Pewujudan dua pangkalan laut perkukuh kawalan keselamatan

Pewujudan dua pangkalan laut perkukuh kawalan keselamatan

SEMPORNA, 12 Okt – Pewujudan dua pangkalan laut mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan timur Sabah dalam menangani jenayah rentas sempadan dan elemen militan dibawa masuk dari selatan Filipina.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dua pangkalan laut berkenaan ialah Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan Semporna, iaitu jenis platform statik menggunakan struktur pelantar minyak terpakai.

Katanya sebuah lagi adalah Pangkalan Laut Tun Azizan yang menggunakan kapal kargo terpakai, dengan kedua-dua pangkalan itu beroperasi sejak Mei lepas.

Beliau berkata pangkalan laut adalah inisiatif baharu menggunakan pelantar minyak sebagai pangkalan hadapan untuk menguatkuasakan pertahanan pantai timur Sabah.

“Pelaksanaan dua pangkalan laut adalah pendekatan luar kotak hasil inisiatif saya sendiri tanpa melibatkan peruntukan daripada Kementerian Pertahanan.

“Petronas melaksanakan tanggungjawab sosialnya memberi komitmen dengan membekalkan satu pelantar minyak terpakai dan sebuah kapal kargo terpakai untuk dijadikan pangkalan laut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, hari ini.

Beliau berkata konsep pangkalan laut di perairan timur Sabah itu adalah pendekatan pertama dilaksanakan di dunia.

Hishammuddin berkata tugas pangkalan laut antaranya ialah sebagai cegah rintang bagi membanteras penceroboh, pengumpul maklumat risikan taktikal dan komuniti maritim, pangkalan operasi hadapan dan pusat operasi hadapan.

Beliau berkata bersesuaian dengan ancaman dihadapi pada masa ini, penggunaan konsep pangkalan laut itu akan dikongsi dengan negara jiran iaitu Filipina, Indonesia dan Brunei.

“Ancaman semasa bukan sahaja kita hadapi dan ia sama dihadapi negara jiran. Tidak ada sebab konsep baharu kita perkenalkan di negara ini, kita kongsi kalau dilihat baik oleh negara jiran,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA