PFNBD adakan Mesyuarat Agung ke-35

PFNBD adakan Mesyuarat Agung ke-35

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD) telah mengadakan Mesyuarat Agung ke-35 yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, pagi tadi.

Hadir merasmikan mesyuarat tersebut ialah tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua PFNBD; Awang Hamidun bin Haji Mohd Noor, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pemangku Setiausaha Tetap, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Awang Hamidun dalam ucapannya menjelaskan bahawa PFNBD sepanjang sesi 2014-2015 telah dapat mengungkayahkan aktiviti dan projek khusus kepada ahli-ahlinya. Antaranya ialah aktiviti penggembaran luar, siri bengkel asas fotografi, bengkel digital, pameran-pameran dan banyak lagi.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama ahli-ahli PFNBD bergambar ramai sempena Mesyuarat Agung PFNBD ke-35.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama ahli-ahli PFNBD bergambar ramai sempena Mesyuarat Agung PFNBD ke-35.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Jurugambar Terbaik 2015 kepada wakil Awang Junaidi.
Tetamu kehormat menyampaikan Anugerah Jurugambar Terbaik 2015 kepada wakil Awang Junaidi.

Menurut beliau, satu lagi kejayaan yang membanggakan sepanjang sesi 2014-2015, ialah apabila 26 orang telah mendaftar menjadi ahli baru pertubuhan dan jumlah ini adalah jumlah yang terbesar pernah direkodkan oleh pertubuhan.

Kejayaan pertubuhan mengungkayahkan acara dan aktiviti yang diadakan itu merupakan hasil daripada kesepakatan dan kerjasama padu semua ahli jawatankuasa tertinggi dan ahli-ahli PFNBD.

Awang Hamidun menyampaikan ucapan.
Awang Hamidun menyampaikan ucapan.
Para jemputan yang hadir ke majlis berkenaan.
Para jemputan yang hadir ke majlis berkenaan.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat juga turut menyampaikan Anugerah Jurugambar Terbaik 2015 kepada Awang Junaidi bin Haji Mahali yang diterima oleh wakilnya. Beliau juga pernah memenangi anugerah serupa pada tahun 2007, 2009 dan 2013.

Majlis pagi itu juga menyaksikan tetamu kehormat majlis menyampaikan sijil-sijil kepada para Ahli Jawatankuasa PFNBD Bagi Sesi 2014-2015.

PFNBD mula ditubuhkan pada tahun 1968 sempena dengan Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA