PGA berjaya patahkan cubaan seludup

PGA berjaya patahkan cubaan seludup

Oleh Arissa

 

BA KELALAN, 25 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang berjaya mematahkan cubaan penduduk tempatan yang cuba menyeludup pelbagai barangan kawalan dan minyak diesel bersubsidi ke negara jiran dalam operasi cegah jenayah di Jalan Puneng Kelalan, Ba Kelalan Lawas pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu suspek berjaya dicekup ketika sedang membawa barangan kawalan dan minyak diesel bersubsidi di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

Ketua Kompeni C Batalion 12, PGA Limbang Asp Paul Paren Ibau berkata antara barangan yang dirampas membabitkan 528 liter diesel bersubsidi, dua tong gas petroleum cecair (LPG), 336 kilogram gula pasir, 238 kg minyak masak dan 80 tepung gandum yang dipercayai cuba diseludupkan ke negara jiran.

“lni adalah tangkapan dan rampasan yang ke-11 yang berjaya dipatahkan anggota polis PGA di sempadan Ba Kelalan membabitkan 10 buah kenderaan pacuan empat roda dan pelbagai barangan kawalan bersubsidi,”katanya di sini semalam.

BARANG KAWALAN BERSUBSIDI...Gula yang dirampas.
BARANG KAWALAN BERSUBSIDI…Gula yang dirampas.

Paul berkata lagi kes itu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Beliau mahu pihak bertanggungjawab dapat mengesan sekali gus menangani aktiviti penjualan berlebihan minyak dan barangan kawalan bersubsidi yang dibeli untuk tujuan penyeludupan di Lawas.

“Masalah ini perlu diberi perhatian kerana ia membabitkan pendapatan kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk keperluan rakyat di negara ini,” katanya lagi.