PGGMB anjur majlis khatam, penyampaian derma

PGGMB anjur majlis khatam, penyampaian derma

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim dan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan dan Syawal 1437H yang telah berlangsung di Ibu Pejabat PGGMB, Tingkat 5, Bangunan PGGMB di ibu negara, kelmarin.

Seramai 17 orang anak-anak yatim terdiri daripada anak-anak ahli PGGMB menerima sumbangan derma kebajikan berbentuk kewangan yang telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad.

Majlis diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran, Bertahlil dan Doa Arwah oleh ahli-ahli lelaki dan wanita PGGMB, manakala bacaan Tahtim dan Doa Khatam pula diketuai oleh Haji Khalidon bin Haji Mohd Salleh, seterusnya bacaan Tahlil dan Doa dipimpin oleh Haji Mutalip bin Awang Ismail.

Acara diteruskan dengan solat fardu Zohor dan solat Sunnat Hajat, khusus bersempena selesainya Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) PGGMB 2016, dan perlantikan baru Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB sesi 2016-2019.

Salah seorang anak yatim yang menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua PGGMB.
Salah seorang anak yatim yang menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua PGGMB.

Acara tersebut telah dikendalikan oleh Bahagian Agama, Bahagian Wanita dan Bahagian Kebajikan PGGMB.

Majlis penyampaian derma anak-anak yatim itu bertujuan untuk membantu meringankan bebanan dan perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri mereka, di samping menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis keagamaan dalam mengharapkan ganjaran pahala serta keberkatan.

Majlis juga bertujuan untuk mengeratkan tali silaturahim di antara keluarga-keluarga anak-anak yatim dengan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan tadbir PGGMB.

ARTIKEL YANG SAMA