PGGMB peduli anak-anak yatim

PGGMB peduli anak-anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), hari ini, telah menghulurkan sumbangan derma kepada 10 orang anak yatim bekas ahli-ahlinya yang telah meninggal dunia di majlis yang diselajurkan dengan Khatam Al-Quran dan Penyampaian Derma Suka Duka, di Bangunan PGGMB, Jalan Kianggeh, di sini.

Penyampaian derma telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PGGMB, Haji Antin bin Ahad selaku tetamu kehormat majlis, dan Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Datin Paduka Hajah Mariam binti Haji Matarsat.

Di majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan sumbangan derma suka duka kepada penerima yang telah mendaftar untuk memohon bantuan bagi majlis kematian ayah dan ibu, dan majlis perkahwinan.

Turut menyampaikan sumbangan derma di majlis itu sempena bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang adalah Syarikat Menjulang Maju Contractor Sdn Bhd, yang diwakili oleh Awangku Mohammad Kamarul Azaman bin Pengiran Zaini.

Majlis berkebajikan ini antara lain bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim menjelang Hari Raya Aidilfitri, di samping menyemarakkan bulan Ramadan dengan majlis-majlis keagamaan dan kebajikan.

Haji Antin menyampaikan sumbangan derma suka duka kepada salah seorang penerima.
Haji Antin menyampaikan sumbangan derma suka duka kepada salah seorang penerima.
Datin Paduka Hajah Mariam menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Datin Paduka Hajah Mariam menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Wakil Syarikat Menjulang Maju Contractor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.
Wakil Syarikat Menjulang Maju Contractor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim.

PGGMB juga sentiasa memeduli kebajikan para ahli PGGMB dan keluarga mereka dengan pelbagai bantuan dan sokongan, dan majlis ini adalah salah satu daripadanya, di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Selain itu, majlis juga adalah untuk mengharapkan kelebihan dan ganjaran pahala dan keberkatan dalam bulan yang mulia ini.

Seterusnya, Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan marhaban beramai-ramai yang disertai oleh lebih 50 orang terdiri daripada ahli-ahli PGGMB, diikuti dengan doa khatam dan Doa Allah Peliharakan Sultan.

ARTIKEL YANG SAMA