Phelps jawab kritikan

Phelps jawab kritikan

SAN ANTONIO, AS, 10 Ogos (AFP) – Michael Phelps memberi mesej jelas kepada pencabarnya menjelang Sukan Olimpik 2016 di Rio selepas mencatat masa terpantas dunia tahun ini ketika menjuarai acara 100 meter kuak-kupu lelaki pada Kejohanan Renang Amerika Syarikat, semalam.

Pemenang 22 pingat Sukan Olimpik itu mencatat masa 50.45 saat pada hari ketiga kejohanan. Phelps, 30, mencatat masa kedua terpantas dunia dalam acara tersebut untuk mengatasi catatan 50.56s yang dilakukan perenang Afrika Selatan, Chad Le Clos dalam Kejohanan Dunia di Kazan, Rusia beberapa jam sebelum itu.

Kejayaan perenang Amerika Syarikat itu mencatat masa yang pantas membalas kritikan Le Clos yang sebelum ini memperkecilkannya kerana terpaksa beraksi pada kejohanan kebangsaan berbanding Kejohanan Dunia ekoran dihukum atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, September lalu.

“Saya sangat menyukainya. Kritikan memberi saya semangat. Aksi di kolam renang menjelaskan segalanya,” kata Phelps, pemenang 18 pingat emas Sukan Olimpik, lapan diraih pada Temasya Beijing 2008.

Rekod 100m yang dilakukan Phelps adalah hampir satu saat lebih pantas berbanding ketika memenangi pingat emas di Olimpik London 2012. “Saya rasa, inilah yang saya mahukan, ketika ini,” katanya.